AM > BERITA

Kepengerusian ASEAN 2025: Malaysia Fokus Lima Bidang Keutamaan Sosial Budaya

16/04/2025 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Malaysia memberi tumpuan kepada lima bidang keutamaan di bawah tonggak Komuniti Sosial-Budaya ASEAN (ASCC) sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN 2025 dalam usaha memperkukuh perpaduan serantau menerusi kerjasama sosial dan budaya.

Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Khairiah Kamaruddin berkata lima bidang utama itu merangkumi seni dan budaya, kecerdasan buatan dan pendigitalan, belia dan sukan, kesihatan serta tindakan iklim.

“MOTAC sebagai peneraju ASCC telah mengadakan sesi libat urus bersama 15 badan sektoral dan menetapkan lima bidang keutamaan yang akan menjadi fokus utama sepanjang kepengerusian ASEAN tahun ini,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama Radio hari ini.

Beliau berkata bidang seni dan budaya dipertanggungjawabkan kepada MOTAC, kecerdasan buatan dan pekerjaan hijau kepada Kementerian Sumber Manusia, belia dan sukan kepada Kementerian Belia dan Sukan, kesihatan kepada Kementerian Kesihatan manakala tindakan iklim dipacu oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Khairiah berkata lebih 120 mesyuarat melibatkan ASCC dijadualkan berlangsung sepanjang 2025 di pelbagai peringkat termasuk mesyuarat pegawai kanan dan menteri.

“Kesemua negeri di Malaysia, termasuk negeri kecil seperti Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan akan terlibat dalam penganjuran mesyuarat dan program, selaras dengan aspirasi keterangkuman dan kemampanan yang ditekankan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Setakat ini, tiga mesyuarat telah dianjurkan oleh MOTAC sejak Januari lepas termasuk Simposium Ekonomi Kreatif ASEAN 2025 yang menghimpunkan pakar dan pembuat dasar dari negara-negara ASEAN dan United Kingdom bagi membincangkan hala tuju ekonomi kreatif serantau.

“Simposium ini membuka ruang baharu kepada ekonomi kreatif sebagai agenda utama Malaysia di bawah ASCC, khususnya dalam bidang seni dan budaya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak dipilih sebagai tuan rumah Mesyuarat ASCC ke-33 yang akan berlangsung minggu depan, memandangkan fasiliti bertaraf antarabangsa serta statusnya sebagai Bandar Gastronomi Kreatif UNESCO pertama di Malaysia.

“Delegasi antarabangsa akan dibawa melawat Kampung Budaya Sarawak dan rumah panjang di Annah Rais bagi merasai sendiri kekayaan budaya dan kepelbagaian etnik di negeri itu,” katanya.

Sebagai usaha diplomasi budaya, MOTAC turut merancang beberapa acara sampingan termasuk Festival Muzik ASEAN-Korea di Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Jun, yang menampilkan artis dari negara-negara ASEAN, Korea Selatan dan Malaysia, termasuk Dolla dan Marsha.

Selain itu, persembahan Seni Persembahan Terbaik ASEAN yang akan diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN, menampilkan persembahan seni tradisional dari seluruh rantau kepada ketua-ketua negara ASEAN.

Mengulas lanjut, Khairiah berkata penglibatan aktif Malaysia dalam ASCC turut menjadi platform kepada pelancaran awal Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kita mahu delegasi yang hadir datang semula bersama keluarga mereka untuk melancong di Malaysia selepas melihat sendiri apa yang negara kita tawarkan dari segi produk pelancongan budaya dan warisan,” katanya.

Malaysia kali terakhir memegang kerusi Pengerusi ASEAN pada 2015 dan kini kembali menerajui blok serantau itu dengan pendekatan berteraskan rakyat, pemerkasaan budaya dan kemampanan jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan