AM > BERITA

LIAM Kerjasama Dengan BNM, KKM Bangun Pelan Asas

16/04/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) sedang bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membangunkan pelan asas bagi memastikan pemegang polisi insurans sedia ada khususnya pesara serta golongan berpendapatan rendah terus menerima perlindungan mencukupi.

Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell berkata usaha yang turut melibatkan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) itu bermatlamat memastikan setiap individu berpeluang memberi sumbangan pelan insurans.

“Kami adalah sebahagian daripada jawatankuasa bersama Bank Negara, KKM dan MTA untuk meneliti pelan ini kerana ia sangat menekankan aspek kemampuan, lebih-lebih lagi memandangkan kos perubatan yang terus meningkat.

“Pelan asas ini diharapkan dapat menyediakan alternatif kepada mereka yang ingin mengekalkan akses, namun berdepan cabaran dari segi kemampuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya LIAM dan Malaysian Life Reinsurance Group (MLRe) bersama Rumah Amal dan Pihak Berkepentingan di sini hari ini.

O’Dell turut menekankan keperluan reformasi struktur berkaitan pengurusan bil hospital, dengan mencadangkan peralihan daripada model “bayaran untuk perkhidmatan” sedia ada yang mengakibatkan caj berlebihan kepada sistem harga kumpulan berkaitan diagnosis (DRG). 

Sementara itu, LIAM dan MLRe turut menyampaikan cek cura bernilai RM25,000 kepada lima rumah kebajikan iaitu Pusat Jagaan Kasih Murni, Taman Keramat; Pertubuhan Kebajikan Mesra Assalam, Puchong; Yayasan Noor Manzil, Puchong; Hiichiikok Foundation, Taman Rainbow dan Pertubuhan Kebajikan Thangam Ilham, Pandan Indah.

Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Insurans Hayat Cares yang akan digunakan bagi menyediakan keperluan harian seperti barangan dapur, kelengkapan penjagaan diri, alat tulis sekolah dan peralatan rumah mengikut keperluan khusus setiap rumah kebajikan.

Pada majlis itu, sebanyak 120 kanak-kanak, remaja dan penjaga dari lima rumah kebajikan berkenaan diraikan bersama 16 syarikat ahli LIAM.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan