AM > BERITA

TikTok Shop Malaysia Catat Pertumbuhan Jualan 100 Peratus Aidilfitri Ini

16/04/2025 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), jenama tempatan serta pencipta kandungan afiliasi di Malaysia mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 100 peratus dalam TikTok Shop, yang diraikan menerusi acara "Raikan Raya 2025" anjuran platform itu baru-baru ini.

TikTok Shop Malaysia memaklumkan momentum itu dipacu oleh pelbagai kolaborasi antara penjual dengan pencipta kandungan yang melibatkan tiga juta pencipta kandungan afiliasi dan lebih 1.7 juta penjual tempatan.

Menurut kenyataan platform e-dagang itu, permintaan pengguna yang tinggi dapat dilihat pada kategori produk perayaan utama dengan fesyen Muslim, kecantikan dan penjagaan diri serta makanan dan minuman muncul sebagai kategori paling laris sepanjang Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

“Purata jumlah pesanan bagi setiap pelanggan turut meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh bukan kempen manakala jualan tahunan jenama tulen dan premium di TikTok Shop Mall mencatatkan pertumbuhan hampir 1.2 kali ganda lebih tinggi berbanding keseluruhan platform,” menurut kenyataan itu hari ini.

Pengarah Perkongsian Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata pertumbuhan jualan tahunan sebanyak 100 peratus yang dicapai itu mencerminkan komuniti platform berkenaan yang semakin berkembang sekali gus menunjukkan peningkatan kuasa beli pengguna serta kerjasama awam–swasta yang lebih kukuh.

“TikTok Shop akan terus komited membantu lebih ramai rakyat Malaysia membina mata pencarian yang lestari melalui e-dagang sambil kami meneruskan momentum ini,” katanya dalam kenyataan sama.

Antara penerima anugerah bersempena dengan "Raikan Raya 2025" TikTok Shop ialah Anas Zahrin yang terpilih sebagai Pencipta Terbaik, Khairul Aming bagi kategori Siaran Langsung Terbaik, ELGINI Malaysia (Penjual Gaya Hidup Terbaik) dan Bulan Bintang (Penjual Fesyen Terbaik).

Penerima lain termasuk Nur Food sebagai Penjual Keperluan Harian Terbaik, Skintific Malaysia (Penjual Kecantikan dan Penjagaan Diri Terbaik), GOOJODOQ Malaysia (Penjual Elektronik Terbaik) dan LadyBossRafa (Penjual Kesihatan Terbaik).

Pengasas jenama Bulan Bintang Azzim Zahid Azmi berkata kemenangan itu merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan platform berkenaan membolehkan pihaknya melangkaui sempadan peruncitan tradisional dan mentransformasikan kempen perayaan kepada hubungan yang bermakna dengan pelanggan.

“TikTok Shop bukan sekadar saluran jualan, tetapi ia juga tempat pertemuan antara e-dagang, budaya, penceritaan dan interaksi masa sebenar. Kami berbesar hati untuk terus berkembang bersama platform e-dagang ini yang menyokong jenama tempatan Malaysia,” katanya.

Bagi usahawan, PMKS tempatan dan jenama yang ingin merealisasikan potensi penuh perniagaan melalui e-dagang, mereka boleh mendaftar melalui Pusat Penjual TikTok Shop serta mengikuti kursus yang ditawarkan di Akademi TikTok Shop.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan