AM > BERITA

Program Komuniti MADANI Parlimen Rasah Perlu Pelbagai Dan Inklusif

16/04/2025 12:42 PM

SEREMBAN,16 April (Bernama) -- Program Komuniti MADANI perlu dipelbagaikan dan inklusif agar mesej kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada semua lapisan masyarakat.

Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin berkata perkara ini penting khususnya bagi komuniti di kawasan yang tidak mempunyai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Beliau berkata di bawah kawasannya terdapat 15 Komuniti MADANI daripada keseluruhan 108 komuniti itu di Negeri Sembilan yang merangkumi 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan setiap komuniti  mempunyai peruntukan khas untuk melaksanakan program sepanjang tahun.

"Saya tidak menetapkan berapa banyak program Komuniti MADANI yang perlu dilaksanakan, saya serahkan semuanya kepada mereka untuk urus dan rancang sendiri. Setakat ini komuniti di Parlimen Rasah semuanya aktif dengan masyarakat setempat.

"Komuniti MADANI ini diharapkan menjadi lebih aktif dalam menyampaikan mesej kerajaan selain dapat memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat dalam menyalurkan maklumat yang sahih kepada masyarakat," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Raya Komuniti MADANI Parlimen Rasah di Dewan Karisma Arena di sini malam tadi.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Azrul Hasan.

Cha berkata pelaksanaan program dalam Komuniti MADANI bagi kawasan yang tiada JPKK perlu dirancang sebaiknya dan tidak tertumpu pada satu tempat sahaja.

"Biar program dilaksanakan Komuniti MADANI ini tersebar, saya harap selepas ini buatlah di tempat berlainan membabitkan masyarakat yang berbeza, bukan hanya orang yang sama sahaja," katanya.

Komuniti MADANI berfungsi sebagai badan sukarela pelbagai kaum untuk memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat melalui tiga teras utama iaitu membantu menyalurkan maklumat kerajaan, mendigitalkan komuniti serta memupuk semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan