KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara di sini.
Anwar tiba di dewan solat utama Masjid Negara kira-kira 1 tengah hari, diiringi beberapa jemaah menteri.
Antara menteri yang mengiringi beliau ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Digital Gobind Singh Deo, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Perdana Menteri turut meluangkan masa beberapa minit untuk bertemu ahli keluarga Allahyarham.
Isteri Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, anak perempuannya, Nori Abdullah bersama suami Khairy Jamaluddin, antara ahli keluarga yang berada di sisi jenazah Allahyarham sepanjang upacara penghormatan terakhir itu berlangsung.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusoff turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara hari ini.
Kedua-dua pemimpin itu tiba sekitar pukul 1 tengah hari dan disambut oleh anak lelaki Allahyarham Kamaluddin Abdullah, sebelum menunaikan solat zuhur dan menyertai solat jenazah bersama para jemaah.
Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi dan IJN dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa negarawan itu dimasukkan ke hospital pagi Ahad selepas mengalami kesukaran bernafas.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menyifatkan Allahyarham merupakan tokoh besar yang telah mencurahkan sepenuh jiwa dan raga dalam mengemudi negara dengan penuh kebijaksanaan, ketulusan dan nilai-nilai murni.
Anwar berkata malah sumbangan besar dan jasa Tun Abdullah kepada negara, akan terus dikenang oleh rakyat keseluruhannnya.
“Sekali lagi kepada Tun Jeanne, anakanda Kamaluddin, Nori dan Khairy serta seluruh keluarga Allahyarham, saya dan Azizah (isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) mengucapkan takziah atas kehilangan ini.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau,” kata Perdana Menteri.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir berkata beliau menyaksikan ribuan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira jawatan, bangsa atau fahaman politik hadir memberikan penghormatan terakhir buat seorang negarawan yang sangat dikasihi.
“Kami semua sayang Pak Lah. Sesungguhnya, kehilangan ini amat besar kepada negara. Namun, kami reda, kerana insan sebaik beliau kini kembali ke negeri yang abadi, bertemu Rabb-Nya dalam damai.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan para solihin,” katanya melalui catatan di Facebook.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial