AM > BERITA

Mahkamah Beri Kebenaran Kepada Najib Untuk Hadiri Istiadat Pengebumian Tun Abdullah

15/04/2025 11:54 AM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyerahkan permohonan rasmi kepada Jabatan Penjara, bagi mendapat kebenaran untuk menghadiri istiadat pengebumian Perdana Menteri Malaysia Kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara semalam.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah demikian pada perbicaraan kes yang sedang dihadapi Najib hari ini.  

“Yang Arif, anak guam saya telah memohon kepada Jabatan Penjara untuk menghadiri pengebumian dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah. Ia akan diadakan di Masjid Negara, dan solat jenazah dijadualkan selepas waktu Zohor,” kata Muhammad Shafee.

Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu, dan mahkamah kemudiannya membenarkannya. Perbicaraan akan bersambung esok.

Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Sequerah mengarahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Najib, 71, sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan