KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi akan sentiasa dikenang sebagai figura yang mengangkat badan kehakiman ke persada lebih dihormati.
Bekas Pengerusi pertama Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) Tun Zaki Azmi berkata suruhanjaya itu yang ditubuhkan pada 2009 semasa Abdullah menjadi Perdana Menteri bertujuan memastikan pelantikan hakim-hakim dilaksanakan secara lebih teratur.
“Dengan adanya SPK, nama-nama calon (hakim) ditapis dahulu. Hal ini menunjukkan bahawa apabila merujuk kepada soal kehakiman, Pak Lah mahu tunjukkan kebebasan pelantikan hakim yang bukan berasaskan politik langsung, tetapi atas meritokrasi.
“Sebelum ada SPK, orang boleh kata bahawa pelantikan (hakim) itu dibuat oleh PM (Perdana Menteri) dan beliau boleh pilih hanya orang yang menyokongnya, tetapi dengan adanya SPK, maka keputusan PM yang nak lantik hakim itu bertindak atas nasihat SPK,” kata Zaki ketika dihubungi Bernama.
Beliau yang memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama tiga tahun dari 2008 turut bersedih atas pemergian Abdullah, 85, dan menyifatkan Allahyarham seorang pemimpin yang lemah lembut apabila berbicara dan sangat ikhlas keperibadiannya.
Allahyarham yang mesra dipanggil “Pak Lah” meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam tadi ialah figura penting yang banyak menyumbang ke arah pembangunan modal insan di negara ini, sehingga diiktiraf sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.
“Tun Abdullah ialah seseorang yang amat saya hormati dan sayangi. Cara beliau bercakap seperti seorang bapa dengan anaknya.
“Pak Lah istimewa kepada saya kerana beliau lantik saya jadi hakim dan terus Ketua Hakim Negara Malaysia. Itu yang saya amat berterima kasih,” kata Zaki yang tercatat dalam sejarah kehakiman Malaysia sebagai peguam pertama dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan secara terus pada 2007.
Pada Feb 2009, Abdullah mengumumkan pelantikan Zaki yang ketika itu Ketua Hakim Negara sebagai Pengerusi SPK dengan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya Datuk Arifin Zakaria serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum pula dilantik sebagai anggota suruhanjaya itu.
Antara fungsi SPK ialah memilih orang berkelayakan sesuai yang wajar dilantik sebagai hakim mahkamah atasan untuk pertimbangan Perdana Menteri.
Turut berkongsi rasa terharu atas pemergian Abdullah ialah bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria yang menyifatkan SPK ditubuhkan di bawah kepimpinan Abdullah merupakan satu langkah ke hadapan yang besar dalam menjamin kebebasan kehakiman.
Beliau turut mengenang jasa Allahyarham yang telah meletakkan badan kehakiman di persada yang lebih dihormati.
“Di bawah kepimpinan beliau, SPK telah ditubuhkan yang dipertanggungjawabkan untuk membuat perakuan dalam pelantikan kehakiman. Saya bertuah kerana sempat bertugas sebagai Hakim Besar Malaya semasa zamannya,” kata Arifin yang memegang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman itu dari 2011 hingga 2017.
Beliau menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai seorang yang tinggi budi pekertinya dan sangat berhemah.
“Boleh saya katakan beliau ialah seorang Perdana Menteri yang senantiasa menghormati kebebasan kehakiman.
“Saya sungguh terharu atas pemergiannya dan saya doakan agar rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” kata Arifin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial