SEREMBAN, 13 April (Bernama) -- Bekalan air di beberapa kawasan di daerah Rembau akan ditutup sementara pada 15 April ini (Selasa) bagi memberi laluan kepada kerja pemasangan Papan Suis Utama (MSB/MCC) baharu serta penggantian kabel kuasa di Loji Rawatan Air Pedas, Rembau.
Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan itu dijangka menyebabkan gangguan bekalan air bermula 8 pagi, 15 April sehingga 8 pagi keesokan harinya, 16 April.
“Antara kawasan yang terjejas ialah seluruh kawasan Industri Chembong, Taman Dato’ Lela Maharaja – Chembong, Rumah Rakyat Chembong, Kampung Berkat dan Kampung Ampang Batu.
“Turut terlibat, Kampung Masjid Tanah, Kampung Chembong Air Hitam, Kampung Rendah, IKBN Chembong, Balai Bomba Chembong, Sekolah Kebangsaan Chembong, Sekolah Menengah Kebangsaan Sedia Raja dan Gerai Majlis Daerah Industri Chembong,” menurut kenyataan itu.
SAINS memaklumkan langkah kontingensi turut disediakan sekiranya gangguan berlarutan melebihi 24 jam, termasuk penghantaran air menggunakan lori tangki serta penempatan tangki statik di kawasan terlibat.
Pemulihan bekalan air akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan kawasan berkedudukan tinggi serta penghujung sistem agihan dijangka mengambil masa lebih lama untuk pulih sepenuhnya.
Orang ramai boleh menghubungi talian SAINS di 1-300-88-6982 bagi sebarang pertanyaan atau bantuan kecemasan sepanjang tempoh gangguan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial