AM > BERITA

PTPTN Terus Bantu Peminjam Selesai Hutang Melalui Pelbagai Kaedah

12/04/2025 12:03 AM

KUALA LUMPUR 11 April (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan terus membantu peminjam menyelesaikan hutang melalui rundingan pembayaran balik yang lebih fleksibel dan tidak membebankan menerusi pelbagai pendekatan serta kaedah.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendekatan penuh empati yang dilaksanakan PTPTN adalah bagi memastikan semua ruang diberikan kepada peminjam untuk melunaskan hutang, selari dengan nilai teras Malaysia MADANI iaitu Ihsan.

"Ini juga bagi memastikan pendidikan tinggi di negara ini kekal inklusif, mampan dan relevan untuk generasi akan datang.

"Justeru, kementerian menyambut baik cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengkaji semula kadar pinjaman serta terma pembayaran balik hutang PTPTN bagi membantu peminjam dengan lebih baik, selain menangani isu hutang tertunggak yang tinggi," menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, hutang keseluruhan PTPTN ketika ini mencecah RM40 bilion, manakala hutang tertunggak berjumlah RM11 bilion.

KPT turut menyedari keluhan pelajar dan sedang meneliti secara menyeluruh kemampanan serta kedudukan kewangan PTPTN dalam usaha mengkaji semula kadar pinjaman yang ditawarkan.

"KPT melalui institusi pengajian tinggi masing-masing turut peka dan menyediakan bantuan sewajarnya kepada pelajar yang berkeperluan dan menghadapi kesukaran sepanjang pengajian," katanya.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya sempena program ‘Meet Anwar@UIAM: A Special Homecoming’ di Pusat Aktiviti Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak, berkata kerajaan sedang menimbangkan kajian semula kadar pinjaman dan terma bayaran balik PTPTN demi membantu peminjam serta menangani isu tunggakan pinjaman yang tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan