Oleh Suraidah Roslan
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- “Api dah tinggi, saya hanya fikir nak selamatkan anak-anak.”
Itu detik cemas dilalui Nurul Adawiyah Mohamad Ahwan, 38, yang cedera di lutut dan tumit selepas terjatuh dalam longkang ketika menyelamatkan tiga anaknya dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas.
Menceritakan kejadian, Nurul Adawiyah berkata rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru terletak hanya 50 meter dari lokasi letupan dan gegaran kuat turut dirasai seisi keluarga.
“Saya dukung anak bongsu, 4 tahun dan berlari bersama dua lagi anak berumur 6 dan 8 tahun dalam kepanasan api yang marak... masa itulah saya terjatuh dalam longkang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan Tragedi Putra Heights di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights hari ini.
Lebih memilukan, katanya, kaki anak bongsunya turut melecur namun tidak disedari ketika kejadian.
“Dia tak menangis pun, kakak dia yang tegur ‘Mama, kaki adik merah’. Saya sangka biasa saja, tapi bila buka seluar, terus nampak kulit dah melecur.
“Kami terus ke unit kecemasan sebab risau... dia masih kecil, takut kulitnya terjejas,” katanya.
Walaupun tidak ditahan di hospital, kaki anaknya masih berbalut hingga kini.
Nurul Adawiyah berkata rumah pusaka peninggalan arwah bapa mentuanya yang diduduki sejak sembilan tahun lalu musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu.
“Kini kami lima beranak menumpang di rumah emak saya, juga di Kampung Kuala Sungai Baru. Saya pilih tinggal jauh dari stesen LRT (Transit Aliran Ringan) sebab anak-anak trauma... bunyi guruh atau tren pun buat mereka teringat kejadian itu,” katanya.
Menurutnya beliau berhasrat membina semula rumah di tapak sama sebaik kawasan itu diisytiharkan selamat .
“Tanah tu peninggalan arwah... satu-satunya kenangan keluarga suami saya,” katanya sebak.
Nurul Adawiyah yang mengusahakan warung makan berkata suami dan abang iparnya turut menanggung kerugian apabila dua bas termasuk bas 44 penumpang serta sebuah kereta sewa hangus dijilat api.
“Jumlah kerugian masih belum dapat ditaksir,” katanya.
Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, api dari saluran paip gas marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial