KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Nasib penduduk Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah, Puchong, ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana belum pun selesai urusan akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas, kini berdepan pula masalah banjir yang melanda pagi tadi.
Hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan air sungai melimpah dan memaksa penduduk di kedua-dua kampung berkenaan berpindah semula ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
Seorang penduduk, Mohd Kamalzaman Pauzi, 39, berkata air sungai Kampung Kuala Sungai Baru yang jaraknya kurang 100 meter dari kediamannya, mula memasuki rumah pada 6 pagi dan dia terpaksa membawa isteri serta tiga anak mereka berpindah ke PPS seperti diarahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Air sungai mula naik kira-kira 4.30 pagi tapi masa itu belum masuk ke kawasan rumah tetapi bila air sudah mula masuk ke dalam rumah baru saya bergegas membawa anak-anak yang berusia antara enam hingga lapan tahun berpindah ke PPS.
“Dalam tempoh seminggu dah dua kali saya berpindah ke sini. Belum sempat menarik nafas lega setelah berdepan kejadian letupan saluran gas, kini ditimpa bencana banjir pula,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS Masjid Putra Heights dekat sini hari ini.
Mohd Kamalzaman berkata biarpun letih kerana perlu berpindah dua kali ke PPS dalam tempoh seminggu, dia gagahi juga ketika diarahkan berpindah demi keselamatan anak-anak .
Dia berkata memandangkan hujan telah berhenti, mereka mungkin boleh kembali semula ke rumah hari ini dan meneruskan kerja-kerja membersihkan lumpur akibat banjir.
“Sejak pindah menyewa di kampung ini lima tahun lepas, sudah tiga kali kami berdepan banjir dan antara yang paling buruk pada Disember 2022 serta Mac 2023,” katanya yang sedih kerana bumbung rumah yang terjejas akibat kebakaran saluran gas belum dapat dibaiki menyebabkan hujan mencurah-curah masuk ke dalam rumah.
Peniaga burger itu berkata kebocoran pada bumbung dapur menyebabkan barangan rumah basah dan rosak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial