KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Siri mikro khas Monsta bersempena dengan Ramadan "Papa Pipi Terpaling Puasa" mencatatkan kejayaan luar biasa apabila meraih lebih 182 juta tontonan dalam tempoh sebulan menerusi YouTube, TikTok dan Instagram Monsta.
Menurut kenyataan Monsta, siri mikro khas yang menampilkan 30 episod sepanjang bulan puasa itu menjadi antara kempen Ramadan digital paling berjaya tahun ini, dengan sambutan hangat daripada penonton di Malaysia, Indonesia dan serantau Asia Tenggara.
“Papa Pipi Terpaling Puasa bukan sekadar hiburan, tetapi ia turut mengetengahkan situasi harian masyarakat Malaysia sepanjang bulan Ramadan, iaitu daripada bangun sahur, keletihan waktu petang, gelagat membeli juadah di bazar, sehinggalah waktu berbuka.
“Semua itu dipaparkan dalam bentuk komedi ringan dan mesra keluarga yang dekat dengan realiti harian rakyat,” menurut kenyataan itu.
Papa Pipi cukup sinonim dengan dunia digital, dengan kata-kata Papa Zola yang kerap dikongsi menerusi media sosial menjadikannya antara ikon popular dalam kalangan ibu bapa.
Menurut Monsta, kandungan yang menyentuh isu kekeluargaan, hubungan suami isteri dan kehidupan harian disampaikan secara lucu dan bersahaja menjadikannya mudah dekat di hati penonton.
“Sambutan luar biasa ini menjadi pemangkin penting kepada momentum jenama Papa Pipi sekali gus memainkan peranan strategik dalam memperkukuh jenama Monsta menjelang pelancaran filem 'Papa Zola The Movie' yang dijadualkan tayangannya pada hujung tahun ini,” menurut kenyataan itu.
Bagi tontonan penuh dan kemas kini terkini animasi berkenaan, orang ramai boleh mengikuti saluran rasmi Monsta melalui YouTube, TikTok dan Instagram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial