SHAH ALAM, 11 April (Bernama) -- Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Petaling dibuka bagi menempatkan mangsa yang terkesan banjir susulan hujan lebat yang berlaku awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Petaling Huzunul Khaidil Mohammed memaklumkan dua PPS tersebut adalah Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28 yang menempatkan mangsa dari Kampung Bukit Lanchong.
“Satu lagi PPS adalah Sekolah Kebangsaan Seksyen 16, Shah Alam yang menempatkan mangsa dari Kampung Padang Jawa.
“Kedua-dua PPS ini menempatkan mangsa yang terkesan akibat bencana banjir yang dikategorikan sebagai bencana tahap 1 di kawasan dimaklumkan dan yang berhampiran,” katanya menerusi kenyataan.
Huzunul Khaidil berkata PPS berkenaan akan beroperasi sepanjang tempoh diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin.
Sementara itu, MBSA menerusi hantaran di Facebook memaklumkan laluan Batu 3 Lama yang sebelum ini ditutup telah dibuka semula atas arahan pihak polis yang mengawal lalu lintas di lokasi dan keadaan banjir juga menunjukkan tanda-tanda surut serta boleh dilalui oleh kenderaan.
MBSA turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa berhati-hati dan memantau kenaikan air di kawasan kediaman masing-masing.
“Patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah ke PPS yang telah disediakan.
“Sebarang kecemasan atau bantuan segera akibat banjir di Shah Alam boleh hubungi Pasukan PANTAS di talian 03-55105811,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, laporan menyatakan beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial