Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tahun 2025 menandakan satu detik penting dalam hubungan ASEAN-China dengan pemeteraian Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China Versi 3.0 yang bakal berlangsung, sekali gus menegaskan komitmen ke arah perdagangan, pelaburan dan integrasi ekonomi serantau yang lebih kukuh.
Berucap pada pembukaan Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China 2025 di sini pada Jumaat, Fadillah berkata detik penting ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan langkah strategik ke hadapan yang turut memperkukuh kerjasama di bawah Belt and Road Initiative.
“Ia memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif untuk rakyat kita.
“Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia kekal komited untuk meneruskan pendekatan kerjasama yang mempromosikan kestabilan, pasaran yang adil dan terbuka, serta nilai-nilai bersama,” kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Forum tersebut turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua, Lyu Yansong.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Forum sehari yang dianjurkan secara bersama Bernama dan Agensi Berita Xinhua dengan tema “Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China”, menarik lebih 200 peserta termasuk pemimpin media utama, wakil media, pegawai kanan kerajaan dan pakar dari seluruh rantau ASEAN dan China, bagi memperdalam penglibatan dalam landskap media yang semakin berkembang pesat.
Ia juga bertujuan memudahkan perbincangan mendalam mengenai pelbagai topik penting kepada ASEAN dan dunia amnya seperti tamadun, revolusi AI dan keterhubungan.
Fadillah berkata Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China mencerminkan komitmen bersama dalam menggalakkan kerjasama yang lebih mendalam, memperkukuh perpaduan serantau dan membentuk masa depan yang makmur bersama.
Timbalan Perdana Menteri turut menekankan peranan penting media dan badan pemikir dalam membantu membentuk dasar, merapatkan pandangan dan mempromosikan keharmonian serantau.
“Dalam era ketidaktentuan ekonomi dan perubahan geopolitik, usaha anda menjadi jambatan kepada pemahaman yang lebih mendalam serta kerjasama yang bermakna,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bernama dan Xinhua atas penganjuran bersama forum ini, sambil menyifatkan dedikasi dan kerjasama itu sebagai sangat terpuji.
“Forum ini berperanan penting sebagai platform untuk membawa suara ASEAN di pentas global, menyuarakan kestabilan serantau dan memperluas kerjasama maritim di bawah inisiatif Maritime Silk Road Abad ke-21, yang merupakan satu bahagian penting dalam Belt and Road Initiative.
“Ia juga memberi peluang tepat pada masanya untuk memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat, memastikan bahawa kerjasama kita bukan sekadar bersifat transaksi, tetapi diasaskan atas kepercayaan bersama, keserasian budaya, dan aspirasi yang dikongsi bersama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial