GEORGE TOWN, 10 April (Bernama) -- Pembukaan laluan penerbangan terus dari Yangon, Myanmar ke Pulau Pinang menerusi Myanmar Airways International (MAI) membuka peluang lebih besar untuk pelancongan perubatan memandangkan negeri itu terkenal dengan kemudahan penjagaan kesihatan bertaraf dunia.
Duta Besar Myanmar ke Malaysia Aung Soe Win berkata penerbangan berkenaan turut memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.
“Ketersambungan ini menyediakan pilihan perjalanan yang mudah dan cekap kepada rakyat Myanmar di negara ini, di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan dan perniagaan.
"Pada masa sama, pengembara Malaysia kini boleh menikmati pengalaman kekayaan warisan budaya Myanmar, mercu tanda sejarah serta landskap semula jadi yang menakjubkan,” katanya ketika menyambut ketibaan penerbangan sulung berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomoi Kreatif negeri Wong Hon Wai, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Samuel Lee serta Ketua Pegawai Eksekutif MAI Tanesh Kumar.
Pesawat yang berlepas dari Yangon pada 2.45 petang (waktu tempatan), mengambil masa hampir dua jam dan tiba di LTAPP pada 6.15 petang (waktu Malaysia) dan disambut dengan semburan air.
Dalam ucapannya, Aung menzahirkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas tindakan pantas dan penuh belas kasihan dalam memberikan bantuan kemanusiaan serta menghantar pasukan mencari dan menyelamat bagi membantu mangsa gempa bumi di Myanmar.
Sementara itu, Wong berkata penerbangan baharu Yangon-Pulau Pinang menandakan satu langkah penting dalam hubungan penerbangan antara kedua-dua pihak sekali gus membuka peluang menarik untuk pelancongan, perniagaan, dan pertukaran budaya.
“Kami (Pulau Pinang) juga menantikan kedatangan lebih ramai pelawat dari Yangon untuk meneroka pelbagai yang ditawarkan di Pulau Pinang, termasuk perkhidmatan pelancongan perubatan bertaraf dunia," katanya.
Menurut Tourism Malaysia, ketibaan pelawat dari Myanmar dari Januari hingga Disember telah menunjukkan pertumbuhan yang ketara dari tahun ke tahun, mencerminkan semakin meningkatnya daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, dengan sejumlah 147,133 pelawat dari Myanmar tiba pada 2024, menandakan peningkatan yang ketara berbanding 102,587 pada 2023 dan 57,232 pada 2019.
Pulau Pinang kini dihubungkan dengan 20 bandar utama di Asia dan Timur Tengah melalui penerbangan terus, dengan Yangon menjadi destinasi ke-21.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial