KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Beberapa mangsa insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights sudah bersiap sedia untuk berpindah ke penempatan sementara.
Tinjauan di PPS itu yang dijangka ditutup pada Ahad ini menyaksikan penghuni mula membuat persiapan untuk berpindah, termasuk ke rumah sewa dan unit Airbnb dengan bantuan kerajaan.
Antaranya, Fazreen Azizan, 34, yang telah mendaftar untuk mendapatkan bantuan penginapan selama sebulan melalui platform Airbnb yang membuka kaunter khas di PPS berkenaan sejak semalam.
“Kami diberi kelonggaran memilih penginapan Airbnb dengan kos RM7,100 sebulan atau RM230 semalam. Jadi apabila PPS ditutup Ahad ini, saya bersama isteri dan lima anak akan berpindah ke rumah yang berada sekitar Subang,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS itu dekat sini hari ini.
Fazreen berkata selepas sebulan, mereka perlu mencari rumah sewa lain memandangkan rumah sewa asal di Kampung Kuala Sungai Baru musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan.
“Kalau rumah itu dibaiki sekali pun, ia mengambil masa lebih daripada enam bulan,” katanya.
Fazreen berkata keluarganya memilih untuk tidak berpindah ke Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan, Sepang yang ditawarkan kerajaan negeri kerana lokasinya jauh dan menyukarkan urusan persekolahan anak-anaknya.
Ketika melawat rumah sewanya yang terbakar pada Selasa, beliau mendapati semua barangan, termasuk kereta hangus terbakar menyebabkan kerugian dianggarkan mencecah RM80,000.
Seorang lagi mangsa, Roseniza Bidin, 56, yang bekerja sendiri berkata beliau telah mula mencari rumah sewa di Kampung Kuala Sungai Baru sebagai persediaan untuk keluar dari PPS berkenaan.
“Kami empat sekeluarga memilih untuk cari rumah sewa lebih awal agar tidak kelam-kabut untuk berpindah beberapa kali, memandangkan bantuan penginapan Airbnb hanya selama sebulan,” katanya.
Roseniza berkata keputusan itu juga dipengaruhi oleh keperluan menjaga lapan ekor kucing peliharaan mereka yang turut memerlukan penempatan yang sesuai.
Sementara itu, Mohd Fazly Nordin, 40, berkata beliau belum bersedia untuk berpindah kerana rumahnya yang terjejas 60 peratus memerlukan masa dua hingga tiga bulan untuk dibaiki.
“Setakat ini saya belum mendaftar Airbnb. Kalau dapat nanti, saya akan cuba cari rumah di sekitar kawasan ini sebab anak-anak sekolah di sini,” katanya.
Mohd Fazly turut meluahkan rasa syukur kerana tindakan pantas pasukan bomba berjaya menggelakkan rumahnya daripada musnah sepenuhnya.
“Hanya bumbung rumah sahaja yang roboh. Syukur kerana struktur utama rumah yang saya warisi daripada arwah ayah masih utuh,” katanya selepas melawat rumahnya Jumaat lepas.
Kejadian kebakaran dan letupan pada 8.10 pagi 1 April lepas, memakan masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya selain turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21x24 meter di lokasi kejadian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial