AM > BERITA

Karnival Mega Gabungan HPF, KUD, SDSI Dijadualkan Pada 3 Julai - FELDA

10/04/2025 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Mega karnival yang menggabungkan Hari Peneroka FELDA (HPF), Karnival Usahawan Desa (KUD), dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI), dijadual dianjurkan buat pertama kali pada 3 hingga 7 Julai ini.

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berkata mega karnival itu yang menggabungkan tiga acara tahunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

"Penganjuran secara bersepadu ini bukan sahaja menjadi medan untuk menghargai sumbangan warga peneroka dan mempromosikan hasil produk tempatan, malah turut membawa misi besar dan membuka laluan kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran global.

“Dengan tema “Desaku Mendunia”, FELDA percaya mega karnival ini mampu memperkasakan ekosistem usahawan, memudahkan akses serta membina peluang jaringan kerjasama antarabangsa," menurut Felda dalam  kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penganjuran mega karnival itu diputuskan dalam mesyuarat koordinasi pelaksanaan ketiga-tiga karnival berkenaan yang dipengerusikannya.

Felda juga menyokong penuh saranan Ahmad Zahid, dan pengerusinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menzahirkan keyakinan bahawa pendekatan holistik ini akan memberi manfaat besar kepada warga peneroka, komuniti luar bandar, serta pemain industri kecil dan sederhana (IKS) di seluruh negara.

Agensi ini turut mengalu-alukan sebarang urusan lanjut berkaitan penyertaan atau penglibatan dalam mega karnival tersebut melalui Sekretariat HPF di e-mel sekretariat.f@felda.net.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan