AM > BERITA

Mangsa Puas Hati Dengan Keadaan Di PPS Putra Heights - Saifuddin Nasution

10/04/2025 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, berpuas hati dengan kemudahan dan operasi pusat itu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. 

Beliau yang melawat mangsa di PPS itu hari ini berkata kesemua agensi kerajaan yang terlibat juga terus berusaha dan menggembleng tenaga untuk memastikan keadaan di situ kondusif kepada mangsa selepas menghadapi ujian besar. 

Saifuddin Nasution berkata kementeriannya juga mengerahkan polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke ground zero sejak hari pertama, selain mengeoperasikan kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen di PPS itu untuk membantu penggantian dokumen penting. 

“Apabila arahan saya (membuka kaunter) dilaksanakan dan mangsa terlibat mengambil peluang itu, saya rasa lega dapat membantu dalam kapasiti kami yang sedikit tetapi lebih penting untuk mendekati mereka dengan sifat keprihatinan dan empati. 

“Kerajaan dan badan bukan kerajaan juga telah menyediakan khidmat kaunseling… ada juga anak mangsa yang masih menghadapi trauma walaupun insiden ini telah berlaku beberapa hari lepas. Di sinilah pentingnya kita tengok bukan sahaja aspek makan, minum dan tempat tinggal, tetapi kesan terhadap mental dan psikologi,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa di PPS itu, yang setakat ini masih menempatkan 361 orang daripada 95 keluarga.

Mengikut data yang dikongsikan kepada media, secara keseluruhan 443 urus niaga dan 291 khidmat nasihat telah dilaksanakan oleh kaunter bergerak bas MEKAR JPN di PPS bermula 3 hingga 6 April, termasuk 172 gantian kad pengenalan, 249 sijil kelahiran dan tujuh sijil perkahwinan.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata antara luahan daripada mangsa semasa lawatannya itu ialah cabaran pembayaran deposit rumah sewa yang tinggi apabila mencari penempatan sementara. 

“Walaupun banyak inisiatif telah diberikan oleh kerajaan (Persekutuan) dan kerajaan Selangor, termasuk biayai sewa RM2,000 sebulan untuk enam bulan, sebahagian daripada mereka apabila jumpa tempat (rumah sementara), dikenakan deposit dua hingga tiga bulan oleh tuan rumah. 

“Tuan rumah yang masih mengekalkan urusan biasa dengan tiga bulan deposit, menyulitkan keadaan mereka (mangsa). Itu sebahagian contoh (luahan) apabila kita turun padang dengar sendiri,” katanya. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Pengarah RELA Lokman Effendi Ramli.

Kebakaran saluran gas pada 8.10 pagi, 1 April lepas menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan