KOTA BHARU, 10 April (Bernama) -- Semua pihak termasuk ibu bapa dan kerajaan mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam mendidik anak-anak agar tidak terjerumus dengan gejala sosial terutama kes rogol, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memainkan peranan melalui pelbagai program pendidikan yang dilaksanakan di masjid, surau dan sekolah.
“Kita berusaha sebaik mungkin dalam konteks bidang kuasa kerajaan. Namun, jika ibu bapa tidak memainkan peranan mereka memantau anak masing-masing, usaha ini sukar untuk berjaya.
“Setiap individu wajib menjaga diri dan ahli keluarga mereka daripada api neraka. Maka kita berharap semua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di sini hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata pendirian itu bukan bermaksud kerajaan negeri bersikap lepas tangan, sebaliknya sentiasa membincangkan isu sosial dan mencari pendekatan terbaik dalam mendidik rakyat di negeri berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata gejala sosial termasuk kes rogol tidak hanya berlaku di Kelantan, namun kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan berusaha menanganinya.
“Kita harap ibu bapa lebih peka dan memainkan peranan lebih besar dalam mendidik anak-anak, memandangkan masa mereka lebih banyak dihabiskan di rumah.
“Ibu bapa wajib ambil tahu dan pantau pergerakan anak-anak,” katanya.
Semalam, media melaporkan jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun, dengan kebanyakan kes melibatkan hubungan atas dasar suka sama suka.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata 252 kes direkodkan sepanjang tahun 2024 berbanding 206 kes pada 2023, peningkatan 22.3 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial