AM > BERITA

Kerajaan Pahang Ikrar Komited Berikan Perkhidmatan Terbaik

09/04/2025 10:43 PM

KUANTAN, 9 April (Bernama) -- Kerajaan Pahang berikrar akan komited dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta pelabur di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau berkata beberapa pendekatan sebelum ini telah diperkenalkan kerajaan negeri bagi mengurangkan kerenah birokrasi antaranya dengan menurunkan kebenaran pertukaran hak milik tanah kepada pegawai daerah.

“Penubuhan dan penyusunan semula beberapa agensi seperti Perbadanan Pasir Pahang, Pahang Mining Corporation dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang, agar urusan berkaitan hasil bumi dan tanah dapat diperkemas dan seterusnya membantu peningkatan hasil kepada kerajaan negeri.

“Selari dengan titah dan pesanan Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), setiap hasil diperolehi akan dikembalikan kepada rakyat dan negeri melalui pelbagai inisiatif seperti Program Inisiatif Makmur Pahang serta projek pembangunan lain,” katanya dalam kenyataan malam ini. 

Sultan Pahang hari ini menitahkan seluruh jentera pentadbiran negeri memperkemas dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam demi memenuhi keperluan sebenar rakyat.

Baginda juga mengambil maklum akan kebimbangan rakyat, pemaju dan pelabur terhadap kelewatan proses kelulusan projek serta permohonan tanah akibat kerenah birokrasi yang panjang dan mahu perkara itu ditangani segera.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan peringatan itu semasa Majlis Pengurniaan Surat Cara Pengisytiharan Pelantikan dan Ikrar Taat Setia Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang baharu Datuk Nazri Abu Bakar dan Pegawai Kewangan Negeri Pahang Datuk Fadzilla Salleh, di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini, pagi tadi.

Wan Rosdy berkata pihaknya menjunjung kasih atas perkenan Sultan Pahang menerima pelantikan Nazri sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baharu.

Beliau berkata susulan pelantikan itu jawatan yang disandang Nazri sebelum ini diisi Fadzilla sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pahang.

“Manakala Datuk Hamadan @ Hamdan Hussin sebagai Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang dan Datuk Razihan Adzharuddin sebagai Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang.

“Patik percaya, pelantikan Datuk Nazri, anak kelahiran Pekan, diikuti beberapa perubahan perjawatan lain dalam pentadbiran, akan meneruskan tradisi kecemerlangan kerajaan di bawah baginda tuanku sejak dahulu, kini dan pada masa akan datang,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan