AM > BERITA

Kebakaran Putra Heights: 219 Ketua Isi Rumah Selesai Terima Bantuan Kewangan Segera - Amirudin

09/04/2025 08:03 PM

SHAH ALAM, 9 April (Bernama) -- Sebanyak 219 daripada 469 ketua isi rumah yang terbabit dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya telah menerima bantuan segera seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata Pejabat Daerah Petaling sedang memuktamadkan proses verifikasi kesemua mangsa menjelang Jumaat ini bagi memastikan tiada keciciran bantuan atau sebarang kesilapan berlaku.

"Sehingga malam semalam, sebanyak 469 keluarga telah disahkan sebagai penduduk yang terkesan akibat letupan saluran gas pada Selasa lepas oleh Pejabat Daerah Petaling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Angka ini berbeza dengan jumlah mendaftar dengan PPS, iaitu 613 keluarga meliputi kawasan di luar taman perumahan dan kampung yang terkesan," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Amirudin berkata kerajaan negeri sudah memuktamadkan 469 ketua isi rumah yang layak untuk menerima sumbangan sama ada RM10,000 atau RM5,000 yang diumumkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memulakan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan kejadian pada Sabtu dan Ahad ini, melibatkan kekuatan kira-kira 1,000 sukarelawan.

"Kita akan berusaha membersihkan sebaik mungkin lokaliti terlibat untuk memberikan lebih keselesaan kepada penduduk, terutamanya 270 rumah yang ditakrifkan selamat untuk diduduki," katanya.

Amirudin turut memaklumkan bahawa Pejabat Tanah dan Daerah Petaling akan membuka kaunter bergerak di Kampung Kuala Sungai Baharu bagi memudahkan penduduk yang ingin membuat penggantian geran tanah yang rosak atau hilang dalam insiden kebakaran tersebut.

Beliau berkata jalan sepanjang 30 meter antara lot pembinaan (lokasi kejadian) dan Taman Putra Harmoni juga akan ditutup bagi membolehkan proses siasatan dilaksanakan dengan lebih lancar.

"Ini untuk memudahkan polis menjalankan siasatan dan pasukan teknikal melakukan cerapan data bagi mengetahui dengan lebih lanjut insiden serta punca kejadian, supaya kita dapat menentukan pihak yang wajar bertanggungjawab terhadap masalah ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan