KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Lebih 30 sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur digerakkan ke lokasi sejak hari pertama insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Pengerusi Kebangsaan BSMM Tunku Temenggong Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata sukarelawan berkenaan digerakkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Dewan Camellia Putra Heights dan Kuil Sri Mahamariamman bagi membantu menguruskan operasi PPS tersebut.
“Sukarelawan BSMM yang bertugas di lapangan sejak hari pertama bukan sekadar membawa bantuan tetapi juga harapan dan sokongan dan kami akan terus berada di sini selagi diperlukan.
“Situasi ini (kebakaran) tidak pernah berlaku sebesar ini dan kita dapat belajar bagaimana menanganinya dengan lebih baik. Ini adalah mandat kami untuk membantu kerajaan setiap kali berlakunya bencana,” katanya kepada pemberita selepas program kunjungan ke PPS Masjid Putra Heights di sini hari ini.
Tunku Puteri Intan Safinaz berkata BSMM turut mengagihkan barangan bantuan asas termasuk pek makanan, kit kebersihan diri termasuk pemeriksaan kesihatan asas kepada golongan rentan terutama warga emas dan kanak-kanak serta bantuan sokongan psikososial kepada individu yang mengalami tekanan emosi.
“Saya dapat lihat agensi kerajaan bekerjasama dengan baik untuk memberi sokongan yang diperlukan termasuk dokumentasi dan infrastruktur. Saya minta kesinambungan ini diteruskan agar kita tidak lupa keperluan mereka pada masa akan datang,” katanya.
Mengenai peranan BSMM di Myanmar yang dilanda gempa bumi kuat baru-baru ini, Tunku Puteri Intan Safinaz memaklumkan BSMM bersama agensi dan badan amal yang lain telah menghantar 15 tan barangan ke negara itu setakat Isnin lepas.
“Saya telah bermesyuarat dengan Persatuan Palang Merah iaitu rakan kita di Myanmar untuk memastikan barang yang dihantar adalah barang yang diperlukan seperti barangan dapur dan kit pembersihan diri.
“Kita ingin terus menghantar barangan ini, contohnya di peringkat ASEAN sudah pun menghantar barangan sama yang diperlukan dan kerjasama ini yang kita mahukan bagi membantu mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial