SIBU, 8 April (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menafikan dakwaan bahawa kontraktor yang diupah beliau telah menjejaskan kesejahteraan pesakit di Hospital Sibu.
Susulan satu hantaran di media sosial yang mendakwa kontraktor diupah beliau telah menyebabkan habuk terjatuh pada katil seorang pesakit ketika membersihkan lekapan lampu di sebuah wad hospital itu, Tiong menjelaskan individu terbabit sebenarnya merupakan pekerja penyedia perkhidmatan rasmi hospital berkenaan.
"Saya amat kecewa dengan tuduhan tidak berasas itu terhadap saya. Boleh jadi salah faham itu berlaku kerana jarak masa yang dekat antara pemasangan penyaman udara dengan pembersihan lekapan lampu," kata Tiong dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengakui telah menguruskan pemasangan unit penyaman udara baharu di hospital tersebut namun menegaskan kontraktor yang diupah beliau hanya bertanggungjawab untuk kerja-kerja pemasangan.
"Pembersihan lekapan lampu tidak berada dalam skop tanggungjawab mereka," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong itu berkata beliau telah menghubungi pengurusan hospital itu untuk penjelasan lanjut dan dimaklumkan bahawa siasatan dalaman akan dijalankan.
"Jika ada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard atau peraturan kerja ditemui, tindakan disiplin sewajarnya akan diambil terhadap petugas terlibat," katanya.
Tiong turut menekankan bahawa kebajikan dan keselamatan pesakit merupakan keutamaan di semua hospital.
"Dalam keadaan apa pun keselamatan pesakit tidak boleh dikompromi kerana hendak mudah. Semua kerja penyelenggaraan mesti dilakukan dengan berhati-hati untuk meminimumkan gangguan dan mengelak daripada memberikan tekanan yang tidak wajar kepada pesakit dan petugas kesihatan," tegasnya.
Kejadian itu menarik perhatian umum selepas seorang pengguna media sosial mendakwa bahawa habuk terjatuh di atas katil pesakit semasa kerja-kerja pembersihan dilakukan sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kebersihan hospital dan keselamatan pesakit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial