Oleh Thivyamalini Ramalu
PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Bagi pelarian Kachin (negeri paling utara Myanmar) selendang dan beg buatan tangan bukan sekadar aksesori biasa sebaliknya ia membawa makna mendalam dari segi budaya serta menjadi simbol yang kuat bagi menyatakan rasa terima kasih.
Disebabkan itu komuniti tersebut berusaha membuat sendiri beg dan ‘nbat’, selendang tradisional Myanmar, khusus untuk dihadiahkan kepada 50 anggota dan pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang selamat tiba di tanah air selepas menyertai misi bantuan kemanusiaan ke negara itu.
Pengerusi Gabungan Etnik Burma Malaysia (COBEM) James La Seng berkata barang tersebut amat bermakna bagi komuniti Kachin dan dengan menghadiahkan kepada anggota NADMA, ia sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Myanmar.
“Kami hanya beri nbat kepada mereka yang paling kami hormati, dan pasukan NADM telah membantu rakyat Myanmar. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa kami berterima kasih kepada pasukan SMART atas respons pantas mereka terhadap bencana ini.
“Kebanyakan daripada kami (pelarian Myanmar di Malaysia) tidak dapat pulang untuk membantu rakyat kami di sana kerana sekatan tertentu tetapi apabila kami membaca berita bahawa pasukan SMART telah ke sana, kami berasa sangat lega,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Sebanyak 50 anggota dan pegawai NADMA telah berlepas ke Naypyidaw, Myanmar pada 30 Mac lepas untuk misi bantuan kemanusiaan dan menyertai operasi SAR mangsa gempa bumi di negara itu.
Sejak itu, COBEM telah mengikuti dengan rapat di semua saluran media sosial dan berita mengenai perkembangan misi tersebut dan menanti pasukan itu pulang dengan selamat.
Kesemua mereka selamat sampai pada 5 petang semalam di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dan ketibaan mereka disambut oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus.
Kontinjen MAS-01 Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Operasi Myteam Relief itu kemudian diberi sambutan hangat oleh ahli COBEM di Ibu Pejabat SMART Pulau Meranti, Puchong
Gempa bumi 7.7 magnitud melanda bahagian tengah Myanmar bulan lepas dengan jumlah yang terkorban lebih 3,500 orang setakat ini.
Kebanyakan mangsa dilaporkan di sekitar Mandalay, bandar kedua terbesar di negara itu dengan lebih 2,100 kematian.
Berkongsi pandangan sama, Naib Pengerusi COBEM Joseph Cha Ru amat menghargai kesediaan Malaysia mengutamakan misi bantuan kemanusiaan meskipun semasa sambutan Aidilfitri.
“Kami faham hari raya adalah perayaan yang besar bagi rakyat Malaysia namun mereka tetap memutuskan untuk memberi bantuan segera kepada Myanmar, sanggup meninggalkan keluarga tersayang. Mereka boleh sahaja memilih untuk menunda misi ini, tetapi mereka tidak berbuat demikian.
“Sebahagian anggota SMART juga sempat belajar beberapa perkataan tempatan Myanmar seperti selamat datang datang dan terima kasih walaupun mereka hanya kira-kira seminggu berada di sana,” katanya.
COBEM menyokong dan memperjuangkan nasib pelarian Myanmar serta pencari suaka di Malaysia menerusi pelbagai program termasuk klinik bergerak, kem remaja, acara sukan, program menyantuni komuniti dan advokasi.
Menurut laman sesawang Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), terdapat 171,450 pelarian dan pencari suaka dari Myanmar yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial