KAJANG, 8 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan elaun anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) ditingkatkan kepada RM80 sehari berbanding RM40 sehari ketika ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata beliau ingin memperjuangkan cadangan menaikkan elaun berkenaan, sekali gus membawanya ke peringkat Jemaah Menteri.
“Saya telah memperjuangkan perkara ini ke peringkat Jemaah Menteri agar disamaratakan elaun iaitu RM80 sehari.
“Insya-Allah, rakan saya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersama untuk memperjuangkan agar elaun APM ini dinaikkan kepada RM80,” katanya ketika berucap pada sambutan penutup Bulan Pertahanan Awam 2025 di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata penambahan elaun sukarelawan itu dilihat bertepatan dengan tugas yang dilaksanakan sukarelawan APM terutama ketika Monsun Timur Laut.
Beliau turut memuji APM yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada minggu lepas.
“Mereka (APM) sendiri yang berada di garisan hadapan pada 1 April lepas, walaupun saya tidak sempat untuk pergi ke ground zero di tempat kebakaran disebabkan kebocoran gas,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar ke Myanmar menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) akan diberikan sijil bagi menghargai pengorbanan mereka bertugas semasa sambutan Aidilfitri.
Sebanyak 50 anggota dan pegawai SMART di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berlepas ke Naypyidaw, Myanmar pada 30 Mac lepas bagi misi bantuan kemanusiaan serta menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.
Angka kematian akibat gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda Myanmar 10 hari lepas meningkat kepada sekurang-kurangnya 3,514, dengan 210 orang lagi masih hilang, menurut data yang dikeluarkan oleh kerajaan tentera Myanmar pada Isnin, lapor agensi berita Jerman.
Kebanyakan korban dilaporkan di sekitar Mandalay, bandar kedua terbesar di negara berkenaan iaitu lebih 2,100 kematian telah disahkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial