IPOH, 7 April (Bernama) -- Pelakon veteran Datin Noor Azizah Azizul Hassan meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Paloh di sini awal pagi tadi.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) Datuk DJ Dave yang mengesahkan perkara itu berkata beliau dimaklumkan berkenaan pemergian seniwati terkenal berusia 79 tahun terbabit oleh anak Allahyarhamah, Khairena.
"Jenazah akan dibawa ke Masjid Paloh di Ipoh dan pengebumian dijangka selepas Zuhur hari ini. Allahyarhamah meninggal dunia kira-kira 3 pagi akibat sesak nafas.
"Sebenarnya dia (Noor Azizah) okey sahaja sebelum ini, dia balik kampung untuk menyambut hari raya (Aidilfitri). Saya pun kalau sempat, saya nak pergi (pengebumian)," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Allahyarhamah mula dikenali menerusi filem Dayang Senandong pada 1965 dengan memegang watak sebagai Puteri Mawarni, sebelum namanya melonjak di pentas seni dengan membintangi filem seperti Raja Bersiong dan Enam Jahanam.
Noor Azizah pernah berlakon dalam kira-kira 20 filem, antaranya Sri Andalas, Jangan Tinggal Daku, Durjana, Laksamana Do Re Mi dan Malim Kundang.
Dilahirkan di Kinta, Perak, Allahyarhamah pernah diberi penghormatan membintangi filem produksi Indonesia iaitu Malin Kundang bergandingan bersama aktor terkenal Rano Karno, dan Jangan Kau Tangiskan.
Noor Azizah juga pernah membintangi drama bersiri Bailey Bird daripada produksi Australia pada 1977 dengan memegang watak Doktor Susan Lim.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Hafiz Nafiah dalam kenyataan memaklumkan Allahyarhamah yang mempunyai dua cahaya mata menghidap penyakit buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis.
Seniman turut berdukacita atas pemergian seniwati itu dan menyifatkan industri kreatif kehilangan seorang pelakon yang sangat berbakat.
“Kepimpinan tertinggi dan barisan exco Seniman mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah dan kami mendoakan agar arwah ditempatkan di syurga,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial