AM > BERITA

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh Salur Bantuan Awal Kepada Mangsa Ribut

07/04/2025 12:42 AM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh digerakkan serta-merta bagi menyalurkan bantuan awal kepada mangsa kejadian ribut di Kampung Melayu Subang dan Subang Perdana, Shah Alam, Selangor petang tadi.

Ahli Parlimen Sungai Buloh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata kejadian ribut menyebabkan beberapa rumah penduduk termasuk kemudahan awam terjejas namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata pihaknya juga bekerjasama rapat dengan pemimpin tempatan dan agensi berkaitan, termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Petaling, Majlis Bandaraya Shah Alam (Unit Pantas), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta polis untuk memastikan bantuan seperti logistik, makanan, tempat perlindungan serta keperluan harian disegerakan.

“Kejadian ini pastinya membawa kesulitan dan kerisauan kepada keluarga yang terjejas terutamanya bagi mereka yang sedang meraikan Aidilfitri. Saya amat memahami perasaan mangsa dan warga penduduk yang terjejas dan saya bersama anda dalam saat sukar ini.

“Dalam apa jua bencana, kebersamaan dan solidariti adalah kekuatan utama kita. Saya menyeru semua pihak terus saling membantu dan mematuhi nasihat keselamatan daripada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ramanan berkata beliau juga akan turun ke lokasi terjejas untuk meninjau keadaan dan berjumpa dengan mereka yang terkesan.

Menurut kenyataan itu, sebarang keperluan, aduan atau bantuan segera boleh disalurkan terus ke Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh menerusi aplikasi WhatsApp di 014-963 7107.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan