AM > BERITA

Tiada Pengangkutan, Risau Tinggal Harta Benda Punca Mangsa Banjir Kapit Enggan Pindah

06/04/2025 09:12 PM

KAPIT, 6 April (Bernama) -- Ketiadaan pengangkutan dan kebimbangan untuk meninggalkan harta benda antara sebab utama ramai mangsa banjir di Kapit enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) semasa kejadian banjir bulan lepas.

Maklum balas itu diperoleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika melawat mangsa banjir di Rumah Gawan dan Rumah Juin, Tatai Sempaong, Baleh yang dilanda bencana itu setinggi lebih satu meter pada 21 hingga 23 Mac.

Susulan itu, Ahli Parlimen Kapit itu mencadangkan agar Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meneliti semula syarat kelayakan bagi pemberian bantuan, khususnya Bantuan Wang Ihsan berjumlah RM1,000 yang ketika ini hanya layak diterima oleh mangsa yang berpindah ke PPS.

“Sekiranya mereka tidak layak menerima RM1,000, bantuan RM500 pun amat membantu meringankan beban mereka yang turut mengalami kerosakan harta benda,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook hari ini.

Selain bantuan tunai, mangsa banjir yang terlibat turut menerima bantuan makanan kering daripada pihak berkuasa.

Semalam, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata kerajaan negeri tetap komited untuk membantu mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS.

Namun begitu, beliau berkata jawatankuasa itu perlu menunggu pengesahan daripada Pejabat Daerah dan mengenal pasti alasan mangsa sebelum sebarang bantuan disalurkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan