AM > BERITA

Kebakaran Putra Heights: Penuntut IPT Dibenarkan Ikuti Pelajaran Secara Dalam Talian

06/04/2025 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menjadi mangsa insiden kebakaran saluran gas Putra Heights, Subang Jaya dibenarkan untuk mengikuti pelajaran secara dalam talian menjelang sesi pengajian yang bermula esok.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata kemudahan itu bukan sahaja diberikan kepada penuntut di universiti awam, malah turut diluaskan kepada institusi seperti politeknik dan kolej komuniti. 

“Saya telah arahkan untuk kelas dilakukan secara dalam talian jadi fleksibiliti itu memang ada di UA dan semua universiti memang telah bersedia 100 peratus untuk membantu.

“Anak-anak ini adalah anak-anak yang bijak, kita tidak mahu kerana kejadian ini menjejaskan konsentrasi mereka dalam pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi penyerahan sumbangan Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada penuntut IPT di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights dekat, sini hari ini. 

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa, menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu mengakibatkan 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah proses pemeriksaan dilakukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan