AM

TIADA TINDAKAN LANJUT DIAMBIL BERHUBUNG KEMATIAN TEOH BENG HOCK - AGC

22/05/2025 07:26 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan agar tiada tindakan lanjut diambil berhubung kematian Teoh Beng Hock yang berlaku pada 16 Julai 2009 di bahagian luar koridor Tingkat 5, Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat setelah meneliti dan mengkaji semua keterangan yang terdapat dalam kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Hasil penelitian terhadap keseluruhan keterangan mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang.

"Oleh itu, arahan yang diberikan adalah supaya tiada tindakan lanjut diambil berhubung dengan kertas siasatan ini," menurut kenyataan itu.

Pada 21 Nov 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan PDRM untuk melengkapkan siasatan kes kematian Teoh dalam tempoh enam bulan.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Teoh terhadap Ketua Polis Negara, Pengarah Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai respoden pertama hingga keempat.

Teoh ditemukan meninggal dunia selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di tingkat 14 Plaza Masalam.

Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

Pada 5 Jan 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Teoh pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kematiannya manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian mendiang memutuskan kematiannya adalah akibat membunuh diri.

Pada 5 Sept 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Teoh dan memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan