AM

LIMA’25: MINDEF METERAI PERJANJIAN STRATEGIK RM11 BILION BAGI PERKUKUH PERTAHANAN NEGARA

22/05/2025 04:25 PM

LANGKAWI, 22 Mei (Bernama) -- Kementerian Pertahanan memeterai 48 kontrak atau Surat Setuju Terima (SST), Surat Niat (LOI) dan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan rakan strategik terpilih bernilai RM11 bilion semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia melibatkan 40 kontrak atau SST, dua LOI bernilai RM30 juta dan ke atas kepada syarikat-syarikat yang telah dianugerahkan kontrak perolehan oleh MINDEF dari penghujung 2023 sehingga kini dan enam MoU antara MINDEF dan rakan strategik terpilih.

“Bagaimanapun, nilai keseluruhan kontrak juga, termasuk 45 lagi kontrak perolehan bernilai antara RM10 juta hingga RM30 juta yang telah ditandatangani sebelum ini,” katanya selepas Majlis Menandatangani dan Penyerahan Dokumen Kontrak, SST, LOI serta MoU itu di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini.

Mohamed Khaled berkata jumlah perolehan itu meningkat kira-kira RM1 bilion berbanding sekitar RM10.1 bilion dengan 43 dokumen ditandatangani pada LIMA 2023.

Semua perolehan itu, melibatkan lima perkara utama, iaitu perolehan aset strategik untuk pertahanan darat, maritim, udara, sekuriti siber dan kemudahan serta kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, hal itu dilakukan bagi meningkatkan kesiagaan aset pertahanan negara berada di tahap yang tertinggi selain memperkukuh kedaulatan wilayah, contohnya menerusi Surat Niat kepada Mildef International Technologies Sdn Bhd bagi permohonan perolehan 136 unit Kenderaan Perisai Jenis A (KJA) & Infrastruktur yang bernilai RM1.88 bilion.

Ini penting dalam usaha memperkukuh kesiagaan aset Tentera Darat Malaysia pada tahap maksimum serta menyokong pembangunan kapasiti pertahanan dan pengukuhan keupayaan industri tempatan.

Beliau berkata pemerkasaan keupayaan ATM juga turut dilakukan dengan memastikan aset sentiasa berada dalam keadaan yang baik melalui peningkatan keupayaan aset sedia ada.

“Di bawah aspek ini, antara kontrak yang telah dimeterai, termasuk Kontrak Penyelenggaraan dan Pembaikan Kapal Selam Kelas Perdana Menteri bernilai RM1.02 bilion dan kontrak perolehan perkhidmatan “obsolescence” (pengurusan keusangan) KD Perdana bernilai RM48 juta,” katanya.

Pemerkasaan keupayaan ATM juga penting untuk menangani ancaman bukan tradisional melalui pengukuhan keselamatan siber negara dan teknologi telekomunikasi seperti Satelit X-Band dan pajakan “Secure Satellite Communication Channel”.

Beliau berkata perolehan turut membabitkan pembangunan dan penyelidikan, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu selain menekankan aspek kesejahteraan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan