Oleh Azli Shafii
TANAH MERAH, 22 Mei (Bernama) -- Pembinaan kawasan tadahan air berkapasiti besar dijangka mampu menyelesaikan masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh Bahari Mohd Noor berkata masalah keperluan asas itu dan kebergantungan kepada sistem air tandak dari bukit bukan hanya berlaku di Kampung Peralla 1, di sini tetapi juga melibatkan beberapa kampung lain di kawasan berkenaan.
“Gual Ipoh adalah kawasan berbukit menyebabkan bekalan air paip daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sering terputus akibat tekanan air yang rendah. Oleh itu, penduduk terpaksa membina sistem air tandak bagi menampung keperluan harian mereka.
“Selain Kampung Peralla, kampung lain yang mengalami masalah sama ialah Kampung Tok Che Do, Kampung Bukit Durian, Bukit Telaga, Ulu Kusial, Bukit Pauh, Kampung Batang Bergedik dan beberapa kampung lain yang bergantung kepada sumber air bukit,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bahari berkata beliau telah membangkitkan cadangan pembinaan kawasan tadahan air berkapasiti tinggi pada persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum ini.
“Cadangan itu melibatkan pembinaan kawasan tadahan di Ulu Bertam dan Lata Hujan yang terletak berhampiran Gual Ipoh kerana kedua-dua kawasan terbabit mempunyai rizab tadahan hujan yang sesuai.
“Pembinaan tadahan air atau empangan ini amat penting bagi memastikan bekalan air yang berterusan, bukan sahaja kepada penduduk Gual Ipoh, tetapi juga kampung-kampung berhampiran yang mengalami masalah sama,” katanya.
Beliau berkata bantuan turut diberikan kepada kawasan terlibat bagi tujuan penyeliaan dan penyediaan sistem air tandak.
“Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) membantu dengan menyalurkan paip polivinil klorida (PVC) kepada penduduk. Bagaimanapun, sistem air tandak ini berdepan kekangan apabila berlaku hujan lebat, musim kemarau, atau gangguan daripada haiwan liar seperti gajah,” katanya.
Beliau berkata kebiasaannya setiap kampung yang menghadapi masalah air mempunyai komuniti atau jawatankuasa tersendiri bagi menyelenggara dan mengurus sistem air tandak.
Baru-baru ini, Bernama melaporkan Kampung Peralla 1, di sini menghadapi masalah bekalan air bersih sejak sekian lama kerana tiada akses bekalan paip tetap.
Lebih 100 keluarga bergantung kepada sistem air tandak yang dibina sendiri menggunakan sumber air bukit.
Sistem ini sering terganggu akibat cuaca dan kos penyelenggaraan tinggi, sedangkan penduduk kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah dan buruh binaan.
Keadaan berkenaan memaksa mereka membeli air mineral untuk kegunaan harian, menambah beban kos hidup.
Sehubungan itu, penduduk berharap kerajaan dapat menyediakan sistem bekalan air yang lebih mampan dan selamat bagi meningkatkan kualiti hidup mereka.
-- BERNAMA