JOHOR BAHRU, 21 Mei (Bernama) -- Proses pemilihan kepimpinan pusat PKR yang akan berlangsung Jumaat ini, wajar dijadikan platform untuk memperkukuh dan memperkasakan parti bagi menghadapi cabaran Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang.
Timbalan Ketua Penerangan PKR 1 Datuk Seri R. Ramanan berkata proses pemilihan juga bukan sekadar soal meraih jawatan, sebaliknya mengenai hala tuju parti yang harus memastikan suara rakyat terus menjadi nadi perjuangan.
“Pemilihan kali ini bukan sahaja medan untuk memilih kepimpinan baharu, malah turut mencerminkan kematangan demokrasi dalam parti, yang menjunjung prinsip keadilan dan reformasi sejak ia ditubuhkan. Pemilihan ini merupakan satu manifestasi kekuatan akar umbi dan semangat perpaduan dalam kalangan anggota parti.
“Parti kita keluarga kita. Sebagai sebuah parti yang berteraskan pelbagai kaum dan agama, PKR sudah melalui dan merentasi pelbagai cabaran, halangan dari dalam dan luar parti. (Jadi) pemilihan ini bukanlah satu proses yang baru untuk kita semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramanan yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan kali ini berkata PKR ialah sebuah parti reformasi yang sentiasa meraikan perbezaan pandangan dan yang terpenting ialah semua ahli kekal bersatu di bawah kepimpinan Presiden yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk membina Malaysia MADANI.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu turut menzahirkan keyakinan bahawa perpaduan dan kesetiaan terhadap idealisme reformasi, akan memperkukuh kedudukan PKR sebagai peneraju dalam landskap politik negara.
“Bersama Presiden, kita harus mara sebagai satu pasukan. Kita hanya ada satu pasukan dalam PKR, perbezaan adalah kekuatan, dan demokrasi dalaman adalah bukti kematangan parti ini.
“Pemilihan PKR tahun ini dilihat detik penting dalam menentukan saf kepimpinan yang mampu menggalas cabaran masa depan, khususnya dalam memperkukuh keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Kongres Nasional PKR akan bermula dengan perasmian serentak Kongres AMK dan Wanita oleh Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh, pada malam esok.
Ia akan disusuli dengan Kongres AMK dan Wanita serta pemilihan kepimpinan pusat pada Jumaat pagi, diikuti ucapan dasar Presiden, yang sekali gus merasmikan Kongres Nasional PKR pada sebelah malam.
Kongres seterusnya diteruskan pada Sabtu dengan sesi perbahasan dan penggulungan oleh kepimpinan parti serta pengumuman keputusan pemilihan bagi kepimpinan pusat sesi 2025-2028.
-- BERNAMA