EKONOMI

RAFFCOMM SASAR HASIL SEBANYAK RM60 JUTA DARIPADA E-INFO SSM TAHUN INI

21/05/2025 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Raffcomm Technologies Sdn Bhd (Rafftech) menyasarkan untuk meraih hasil pendapatan sebanyak RM60 juta daripada perkhidmatan portal e-Info Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjelang hujung tahun ini.

Raffcomm merupakan penyedia perkhidmatan rasmi portal SSM itu. Platform tersebut menawarkan akses dalam talian kepada pelbagai maklumat korporat dan perkhidmatan, termasuk profil syarikat, profil perniagaan, perbandingan kewangan dan serta pelbagai pensijilan.

Ketua Pegawai Perniagaan Rafftech Rozaina Shafie berkata syarikat itu mencatatkan pertumbuhan yang stabil sejak portal dalam talian itu dilancarkan pada 2006.

"Pada 2008, kami memperoleh hasil pendapatan sebanyak RM200,000. Tahun lepas ia mencecah RM36 juta. Kami telah mencapai kemajuan yang ketara dalam tempoh 19 tahun ini.

"Sasaran semasa kami, yang dipersetujui bersama SSM, mencerminkan fokus berterusan kami terhadap pertumbuhan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran program ganjaran dan aplikasi mudah alih SSM e-Info versi 3.0. di sini hari ini.

Rozaina berkata pengguna juga boleh membuat carian maklumat syarikat secara percuma menerusi enjin carian aplikasi tersebut, bagaimanapun, bayaran dikenakan bagi mendapatkan laporan terperinci. 

Struktur harga ini selaras dengan model perkhidmatan Rafftech dan telah diluluskan oleh SSM, katanya.

Pengerusi Eksekutif Rafftech Datuk Md Afendi Hamdan berkata SSM e-Info telah menjadi gerbang maklumat yang dipercayai oleh syarikat dan orang awam untuk mencari, mengakses dan membeli maklumat korporat bagi syarikat yang diperbadankan dan didaftarkan di Malaysia.

“Inisiatif ini merupakan langkah strategik ke hadapan dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan digital kepada rakyat dan komuniti perniagaan di Malaysia,” katanya yang turut hadir pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan berasingan, Rafftech menyifatkan aplikasi mudah alih SSM e-Info sebagai alat penting untuk mengakses maklumat korporat yang lengkap dan didaftarkan secara rasmi dengan SSM.

“Aplikasi ini direka dengan teliti bagi memenuhi keperluan profesional perniagaan, pelabur dan pasukan perundangan yang memerlukan akses segera kepada data masa nyata mengenai syarikat-syarikat yang beroperasi di Malaysia.

"Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play Store, menjadikannya sumber penting bagi mereka yang terlibat dalam aktiviti korporat dan perundangan di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Rafftech turut menekankan bahawa SSM e-Info merupakan satu-satunya perkhidmatan SSM yang menawarkan dokumen salinan sebenar diperakui secara digital melalui pihak berkuasa pensijilan dalaman yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi menjamin ketulenan dan integriti dokumen yang dibeli.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan