KOTA BHARU, 21 Mei (Bernama) -- Ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) perlu memanfaatkan kemajuan teknologi untuk melaksanakan lebih banyak program berimpak tinggi bagi melahirkan golongan remaja dan wanita yang mampu membawa perubahan demi kepentingan negara selaras visi dan misi persatuan itu.
Yang Dipertua PPPM Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT) telah memudahkan banyak urusan harian sama ada di rumah, sekolah dan tempat kerja melalui kawalan tanpa wayar serta pelbagai aplikasi pintar yang hanya di hujung jari.
Isteri Perdana Menteri itu, bagaimanapun menasihati agar menggunakan teknologi sedemikian dengan penuh adab dan tertib.
"Sentiasa berjaga-jaga dan mengambil langkah perlu untuk membuat semakan bagi mengelak daripada tertipu atau tanpa sengaja menyebarkan berita tidak benar.
"Kita tidak boleh terus percaya bulat-bulat dengan apa yang kita lihat dan apa yang kita baca. Saya tidak akan berhenti bercakap mengenai perkara ini kerana teknologi berkembang pesat," katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 PPPM di sini hari ini.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat merasmikan persidangan dan mesyuarat agung itu.
Dr Wan Azizah berkata setiap hari ada sahaja kemajuan atau kemampuan baharu diumumkan dan masyarakat perlu dididik secara umum supaya sedar dan tahu cara menggunakan teknologi dengan berhemah.
"Teknologi AI adakalanya memperdaya kita tanpa kita sedar dan ia juga boleh menimbulkan persepsi negatif apabila digunakan dengan tidak bertanggungjawab," katanya.
Beliau berkata segala percakapan sama ada secara lisan atau bertulis terdedah kepada risiko dimanipulasi sekiranya tidak berwaspada.
Dr Wan Azizah memberi contoh, kerajaan Amerika Syarikat baru sahaja meluluskan “Take It Down Act” antaranya untuk mengekang isu penyalahgunaan deepfakes dan mengekang jenayah ugutan seksual.
"Kita perlu ingat tugas utama kita semua yang berada dalam dewan ini adalah mendidik anak-anak untuk mengamalkan akhlak mulia, menjaga adab dan tatasusila, tidak kira dalam kehidupan seharian mahupun di media sosial.
"Sesibuk mana pun kita semua, tugas mendidik haruslah menjadi kepentingan utama dalam semua perkara. Didikan ini adalah merupakan 'pelaburan jangka panjang' yang akan membuahkan hasil dikemudian hari," katanya.
Beliau berkata di sebalik kemajuan, masyarakat tidak boleh melupakan isu sosial yang masih berlaku hingga ke hari ini seperti gejala buli secara fizikal atau mental dan siber.
Dr Wan Azizah berkata jika berleluasa, ia akan memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan mental dan keyakinan diri, bukan sahaja kepada kanak-kanak, tetapi juga remaja dan golongan dewasa.
PPPM melalui kerjasama strategik Kementerian Pendidikan, katanya akan meningkatkan usaha dalam membendung isu buli melalui pendekatan pendidikan pembangunan karakter, latihan kepemimpinan yang berteraskan empati dan aktiviti yang memupuk rasa hormat, toleransi serta tanggungjawab sosial.
-- BERNAMA