GUA MUSANG, 20 Mei (Bernama) -- Jalan Gua Musang-Kuala Krai tidak dapat dilalui dari kedua-dua arah susulan tebing runtuh di Kilometer 27 berhampiran Gua Sejuk.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata tebing runtuh yang berlaku pada 7.30 malam tadi turut menyebabkan aliran trafik terhenti sepenuhnya dengan kesesakan dilaporkan sepanjang kira-kira dua kilometer.
Beliau berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang bermula sejak petang tadi namun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan dilaporkan.
“Kejadian itu telah dimaklumkan kepada pihak Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) oleh Jabatan Kerja Raya untuk tindakan lanjut.
“Pemantauan di lokasi turut dilakukan oleh anggota trafik dan pasukan unit kereta peronda (MPV) bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya kepada Bernama malam ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata laluan hanya akan dibuka semula selepas kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan.
“Segala usaha sedang dijalankan dan ia bergantung kepada seberapa cepat bantuan tiba untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan. Setakat ini, tiada jalan alternatif yang boleh digunakan, oleh itu, orang ramai diminta bersabar dan mematuhi arahan pihak berkuasa sementara menunggu laluan dibuka semula,” katanya.
-- BERNAMA