AM

LIMA'25: AHMAD ZAHID IMBAU KENANGAN NAIK PESAWAT TEMPUR SU-30MKM

20/05/2025 11:40 PM

LANGKAWI, 20 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengimbau kenangan menaiki pesawat tempur SU-30MKM 15 tahun lepas ketika berada di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25), hari ini.

Ahmad Zahid di laman Facebooknya berkata beliau berpeluang menaiki pesawat itu di Pangkalan Udara Gong Kedak, Besut, Terengganu pada 2010 semasa menjadi Menteri Pertahanan.

 “Masih segar dalam ingatan, degup jantung sewaktu duduk di dalam kokpit pesawat yang digeruni dan dihormati ini. Suara juruterbang, kawalan komunikasi, kecekapan anggota TUDM yang bertugas, semuanya seperti baru berlaku semalam.

"Ia merupakan satu pengalaman luar biasa yang memberikan saya penghargaan tinggi terhadap kecekapan dan keberanian perwira-perwira udara negara," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pesawat Sukhoi SU-30MKM bukanlah calang-calang jentera dan menyifatkannya sebagai satu lambang kekuatan udara negara.

"Kehebatan juruterbang yang mantap, berteraskan ketepatan teknologi serta disiplin tinggi pasukan pertahanan kita. Bila melihat semula gambar-gambar lama ini, saya tersenyum sendiri dan dalam hati sebenarnya cukup teruja hanya Allah SWT sahaja yang tahu,” katanya.

LIMA'25 anjuran Kementerian Pertahanan bersama Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) memberi penekanan pada inovasi serta peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.

Pameran kali ini merupakan yang terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan