Oleh Danni Haizal Danial Donald & Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa apabila pelabur kekal berhati-hati menjelang kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), kata penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.2900/3020 berbanding dolar AS daripada 4.2870/2945 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Presiden Fed New York John Williams dan Presiden Fed Atlanta Raphael Bostic telah memberi isyarat bahawa pembuat dasar akan terus menilai data yang diterima sebelum membuat sebarang keputusan.
“Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.66 peratus kepada 100.426 mata, susulan sentimen yang semakin baik dalam pasaran ekuiti, walaupun beberapa pegawai Fed kelihatan keberatan untuk menurunkan kadar faedah dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata hasil Perbendaharaan AS berjangka dua tahun dan 10 tahun masing-masing susut dua dan tiga mata asas kepada 3.98 peratus dan 4.45 peratus, manakala kebarangkalian untuk pengurangan kadar faedah pada Jun adalah rendah iaitu kurang daripada 10 peratus berdasarkan kontrak niaga hadapan Kadar Dana Fed.
“Namun begitu, kami menjangkakan ringgit terus kekal disokong memandangkan sentimen pasaran yang semakin baik didorong rundingan tarif antara AS dan pelbagai negara di seluruh dunia,” katanya.
Pada pembukaan dagangan, ringgit bagaimanapun diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9582/9667 daripada 2.9596/9650 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding euro kepada 4.8181/8316 daripada 4.8344/8429.
Ringgit juga lebih stabil berbanding pound British kepada 5.7302/7462 daripada 5.7420/7521.
Ringgit juga didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3120/3218 daripada 3.3135/3195 semalam, dan lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.9388/9864 daripada 12.9630/9924.
Namun, ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 261.0/261.9 daripada 260.8/261.4 semalam dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.73 daripada 7.69/7.71.
-- BERNAMA