AM

CADANGAN JAJARAN AKHIR E-ART DIKETAHUI SEAWAL OGOS

19/05/2025 02:56 PM

ISKANDAR PUTERI, 19 Mei (Bernama) -- Cadangan jajaran akhir bagi Sistem Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART) dijangka diketahui seawal Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata ini tertakluk kepada hasil penilaian Permintaan Cadangan (RFP) oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

“UKAS telah memulakan proses RFP bagi pelaksanaan sistem E-ART bagi melengkapkan sistem pengangkutan bersepadu di Greater Johor Bahru.

“E-ART bakal merangkumi tiga koridor utama, iaitu Skudai, Tebrau, dan Iskandar Puteri yang akan berintegrasi di stesen pertukaran utama Bukit Chagar seterusnya menyokong Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru-Singapura,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ramlee Bohani (BN-Kempas) berkenaan langkah diambil kerajaan bagi menangani isu kesesakan di Johor Bahru yang kian memburuk saban hari, termasuk langkah pelan jangka pendek serta jangka panjang yang dirangka.

Beliau berkata pelaksanaan E-ART dijangka memberi manfaat besar dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, mempercepat mobiliti harian dan menyokong agenda rendah karbon. 

Sebelum ini, Mohamad Fazli dilaporkan berkata laluan E-ART akan dibangunkan membabitkan 32 hentian stesen, dengan anggaran kos bagi pembinaan sistem pengangkutan awam itu hampir RM7 bilion.

Mohamad Fazli berkata selain E-ART, kerajaan negeri sudah merangka pelan penyuraian trafik dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyuraian Trafik Greater JB bagi mengenal pasti kawasan tumpuan kesesakan dan merangka pelan penyuraian trafik.

Beliau berkata jawatankuasa khas peringkat negeri itu mengenal pasti 77 kawasan kesesakan dan lebih 20 lokasi telah diambil tindakan.

“Jawatankuasa itu juga mengemukakan cadangan seperti pemasangan barrier laluan, papan info trafik serta penguatkuasaan semasa waktu puncak yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan dan Keselamatan.

“Antara kawasan hotspot yang telah dirangka pelan penyuraian ialah penutupan Jalan Ledang menghala ke Lebuhraya Skudai (susur keluar dari Taman Johor ke Skudai) yang dilihat berjaya mengurangkan tekanan trafik di kawasan berkenaan,” katanya.

Mohamad Fazli berkata kerajaan turut meneliti keperluan untuk menambah kapasiti jalan raya, termasuk pelebaran jalan, pembinaan jalan pintas baharu dan penyelenggaraan berkala bagi memastikan sistem trafik dapat menampung pertambahan kenderaan dan pembangunan pesat di kawasan Johor Bahru.

“Pelan ini melibatkan pembinaan jalan baharu, pelebaran jalan sedia ada serta sistem pengurusan trafik yang lebih moden bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kepadatan trafik. 

“Oleh itu, kerajaan negeri menghantar senarai 18 cadangan projek kepada pihak Perkhidmatan Perunding Bagi Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya (HNDP) bagi meneliti projek yang patut diberi keutamaan untuk mendapat kelulusan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan