AM

KEMUDAHAN LIF DI LIMA STESEN MONOREL KINI BEROPERASI SEPENUHNYA

18/05/2025 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Sebanyak lapan unit lif di lima stesen monorel beroperasi sepenuhnya selepas selesai proses naik taraf termasuk pemeriksaan dan pematuhan terhadap peraturan keselamatan oleh agensi kerajaan berkaitan.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan stesen monorel yang terlibat adalah Stesen Imbi, Stesen Maharajalela dan Stesen Medan Tuanku, masing-masing dengan dua unit lif manakala Stesen Hang Tuah dan Stesen Raja Chulan masing-masing satu unit lif.

Menurut Rapid Rail penaiktarafan itu untuk meningkatkan keselesaan serta aksesibiliti kepada pengguna khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta keluarga yang membawa anak kecil atau menggunakan kereta sorong bayi.

"Baki lapan unit lif termasuk satu unit eskalator di enam stesen berikutnya kini sedang menjalani fasa akhir ujian pentauliahan serta pengeluaran permit mesin angkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir bulan ini," menurut kenyataan itu.

Rapid Rail memaklumkan penaiktarafan itu merupakan sebahagian daripada peruntukan RM12.6 juta yang melibatkan pelbagai inisiatif penambahbaikan di 11 stesen monorel termasuk pemasangan sistem pintu platform automatik dan lif platform untuk kerusi roda yang mula beroperasi sejak Disember selain kerja-kerja pembaikan lif dan eskalator.

Menurut kenyataan itu perkhidmatan monorel mencatatkan purata jumlah penumpang harian sebanyak 52,000 pada 2023 dengan peningkatan lapan peratus kepada 57,000 penumpang harian pada 2024.

"Peningkatan ini menandakan pemulihan yang berterusan serta pertumbuhan positif dalam penggunaan pengangkutan awam di ibu kota.

"Ia turut menunjukkan keyakinan pengguna yang semakin meningkat dan monorel kembali menjadi pilihan utama warga kota untuk perjalanan harian mereka,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Rapid Rail memaklumkan kemudahan lif yang mesra pengguna amat penting bagi memastikan pergerakan penumpang di stesen berjalan lancar serta memberi pengalaman perjalanan lebih selesa dan selamat untuk semua.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana Malaysia Berhad Amir Hamdan berkata kemudahan lif yang disediakan itu diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya dengan keutamaan diberikan kepada golongan yang memerlukan.

"Rapid Rail akan terus komited dalam memastikan sistem pengangkutan awam yang efisien, mudah diakses dan inklusif untuk semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan