JENAYAH & MAHKAMAH

REMAJA DIKHUATIRI LEMAS SEMASA CUBA MENYEBERANGI LOMBONG

18/05/2025 11:24 AM

IPOH, 18 Mei (Bernama) -- Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika berenang menyeberangi lombong di Jalan Kilang Simen, Kota Bharu dekat Gopeng, petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.49 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

"Mangsa dikenali sebagai Muhammad Fazrul Qusry berusia 18 tahun dipercayai telah lemas semasa cuba menyeberangi lombong. Rakan mangsa telah membuat carian di sekitar kawasan lombong selama 30 minit sebelum menghubungi pihak MERS 999.

"Operasi pencarian dan menyelamat (SAR) telah ditangguhkan kira-kira 11 malam tadi disebabkan faktor cuaca dan gelap, namun pencarian secara berkala dilakukan oleh anggota bertugas. Operasi disambung semula bermula pada 8 pagi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi SAR membabitkan tujuh anggota JBPM, enam anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan