JENAYAH & MAHKAMAH

PENIAGA AYAM GUNTING RUGI HAMPIR RM20,000 DIPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD

18/05/2025 11:43 AM

KUALA TERENGGANU, 18 Mei (Bernama) -- Seorang peniaga ayam gunting mengalami kerugian sebanyak RM19,050 selepas diperdaya skim pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa seorang wanita berusia 38 tahun telah melihat iklan pelaburan saham melalui laman sosial Facebook pada 15 April lepas.

Beliau berkata mangsa yang tertarik telah menghubungi suspek dan dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak RM20,060 dengan modal hanya RM300.

"Setelah mangsa membuat bayaran, dua suspek wanita yang dikenali sebagai Zaharah dan Maznah telah meminta mangsa membuat sejumlah bayaran lagi bagi mengeluarkan keuntungan berkenaan.

"Mangsa telah membuat enam kali bayaran menggunakan wang simpanan, gadaian barang kemas dan pinjaman, namun masih belum diberi bayaran keuntungan selepas lebih sebulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang mengesyaki ditipu telah membuat laporan polis pada 8 malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan