DUNIA

NIAGA HADAPAN EMAS DIJANGKA DIDAGANGKAN TINGGI ANTARA US$3,200 HINGGA US$3,250 MINGGU DEPAN

17/05/2025 10:49 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan tinggi minggu depan, dalam julat US$3,200 hingga US$3,250, susulan kebimbangan terhadap situasi fiskal Amerika Syarikat (AS), kata Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes.

Beliau berkata paras hutang AS yang meningkat dan potensi kebuntuan politik global mungkin mendorong minat baharu terhadap emas.

“Jika ketidaktentuan pasaran meningkat, emas boleh bergerak lebih tinggi minggu depan. Selain itu, psikologi pelabur secara beransur-ansur beralih kembali kepada perdagangan ‘jual fiat, beli logam’, terutama apabila keyakinan terhadap mata wang tradisional semakin lemah,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata harga emas sedikit turun minggu ini berikutan ketegangan geopolitik yang reda, dengan penangguhan tarif antara AS dan China serta usaha diplomasi baharu di Timur Tengah.

 “Dalam konteks itu, penurunan harga minggu ini dianggap sebagai peluang belian, dan bukan isyarat untuk tidak memasuki pasaran,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, Mei 2025 susut kepada US$3,218.10 setiap auns troy daripada US$3,335.10 manakala Jun 2025 berkurangan kepada US$3,232.0 setiap auns troy daripada US$3,348.10.

Julai 2025, Ogos 2025 dan Oktober 2025 masing-masing susut kepada US$3,245.70 setiap auns troy daripada US$3,348.10.

Jumlah dagangan menokok kepada 1,150 lot daripada 455 lot yang direkodkan minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 49 kontrak daripada 42 kontrak.

Menurut penetapan petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 15 Mei, emas fizikal berharga US$3,191.05 setiap auns troy.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan