DUNIA

NIAGA HADAPAN FBM KLCI DIJANGKA DINIAGAKAN DALAM JAJARAN KECIL MINGGU DEPAN

17/05/2025 10:45 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil pada minggu depan, menjejaki pasaran tunai pendasar.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras dijangka kekal dalam jajaran kecil minggu depan, menunggu pemangkin baharu.

“Daripada perspektif teknikal, FBM KLCI masih diniagakan di atas purata pergerakan eksponen (EMA) 20 hari dan 50 hari, menandakan kecenderungan kenaikan harga jangka pendek yang berterusan.

“Pegangan melebihi 1,540 memastikan persediaan semasa membina, dengan paras rintangan jangka sederhana dilihat pada 1,600,” katanya kepada Bernama.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Mei 2025 meningkat 22.0 mata kepada 1,567.0, Jun 2025 menambah 24.5 mata kepada 1,5567.5, September 2025 melonjak 24.5 mata kepada 1,551.5, dan Disember 2025 naik 23.5 mata kepada 1,560.0.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 32,337 lot daripada 21,312 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menambah kepada 39,634 kontrak berbanding 36,502 kontrak sebelumnya.

FBM KLCI menokok 29.26 mata kepada 1,571.75 ketika ditutup semalam berbanding 1,546.50 seminggu sebelumnya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan