EKONOMI

KEAKRABAN ANWAR-PUTIN LANGKAH STRATEGIK HARUNGI LANDSKAP POLARISASI GEOPOLITIK DUNIA

17/05/2025 09:22 AM

Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Sambutan mesra yang diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Presiden Vladimir Putin semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke Rusia jelas menunjukkan komitmen tinggi antara kedua-dua pemimpin untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara. 

Kemesraan antara Anwar dan Putin yang merupakan antara pemimpin paling berkuasa di dunia jelas kelihatan sejak permulaan lawatan lagi apabila kedua-dua pemimpin berusaha memupuk perkongsian bermakna bagi kedua-dua negara.

Keakraban yang terjalin antara kedua-dua pemimpin itu penting terutamanya dalam landskap dunia yang semakin berpecah ekoran tindakan beberapa kuasa besar yang mengambil tindakan unilateral dan dasar perlindungan yang memerlukan hubungan diplomatik dan kerjasama diperkukuh bagi memperdalamkan lagi hubungan Malaysia-Rusia.

Semasa di Kremlin, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, telah diberi sambutan rasmi yang istimewa dengan acara itu mendapat liputan meluas di Rusia oleh lebih 80 wakil media dari pelbagai agensi.

Walaupun datang dari sebuah negara yang agak kecil, delegasi Malaysia dilayan dengan penuh mesra dan hormat oleh Putin seperti yang dizahirkan Anwar semasa menyampaikan syarahan di universiti terkemuka Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO).

Anwar turut dikurniakan ijazah kedoktoran kehormat daripada MGIMO sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau terhadap keamanan global dan kerjasama antarabangsa.

“Saling menghormati antara negara ‘adalah apa yang diperlukan untuk ditonjolkan di mata dunia’.

“Kita perlu menunjukkan bahawa setiap komuniti, setiap negara, sama ada kecil, kaya atau miskin perlu dihormati dan diiktiraf,” kata beliau.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar secara rasmi menjemput Putin menghadiri sidang kemuncak perkumpulan serantau itu dengan rakan dialog pada Oktober 2025 di Kuala Lumpur.

Sementara itu ketika bertemu Anwar secara peribadi Presiden Putin turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan jemputan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim melawat Rusia.

"Saya ada permintaan untuk disampaikan. Tolong sampaikan ucapan selamat saya kepada ketua negara (Agong) Sultan Ibrahim," kata Putin kepada Perdana Menteri, seperti yang dilaporkan oleh Russian News Agency (TASS). 

Kedua-dua pemimpin komited untuk meningkatkan kerjasama bukan sahaja dalam perdagangan dan pelaburan tetapi juga dalam budaya, bahasa serta ketersambungan antara rakyat.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 400 pelajar Rusia yang melanjutkan pelajaran di Malaysia dan sebanyak 700 pelajar Malaysia berada di Rusia.

Apa yang lebih menarik dan merupakan satu penghormatan kepada Malaysia adalah MGIMO menawarkan Bahasa Malaysia sebagai mata pelajaran di universiti tersebut manakala Bahasa Rusia juga ditawarkan di Universiti Malaya.

Semasa lawatannya ke Moscow dan Kazan, Anwar turut mengambil peluang menghadiri perbincangan meja bulat dengan 24 syarikat utama di Rusia dan dua majlis perniagaan yang diwakili oleh pemimpin industri untuk membincangkan kerjasama strategik dalam meningkatkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia.

Di Moscow, pemimpin industri di Rusia menyatakan hasrat mereka untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan makanan, pertanian dan teknologi. Antara syarikat yang terlibat ialah Oil Partners, Sportmaster dan Russian Direct Investment Fund.

Menerusi salah satu libat urus mereka, Putin berkata beliau melihat prospek usaha sama antara Rusia dan Malaysia dalam sektor gas asli dan tenaga nuklear.

Syarikat minyak dan gas Malaysia, PETRONAS sudahpun mempunyai kehadiran di Rusia dengan modal ekuiti dalam Rosneft dan sedang membangun hubungan dengan Gazprom, katanya.

Rosneft adalah syarikat tenaga bersepadu Rusia yang beribu pejabat di Moscow, manakala Gazprom merupakan syarikat tenaga multinasional majoritinya milik kerajaan Rusia yang beribu pejabat di Lakhta Center di Saint Petersburg.

Sementara itu, Anwar juga bertemu dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Mikhail Mishustin, untuk membincangkan satu lagi perbincangan dua hala. Beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Mufti Besar Persekutuan Rusia, Sheikh Ravil Gaynutdin, yang juga pengerusi Lembaga Agama Islam Rusia.

Di Kazan, ibu kota Tatarstan yang merupakan salah satu entiti persekutuan terkaya di Rusia, Anwar dan delegasi Malaysia melawat Kazan Expo, yang memfokuskan pada teknologi serta Ekspo Halal Rusia dan menghadiri Majlis Resepsi Gala sempena Forum Ekonomi Antarabangsa ke-16 “Russia – Dunia Islam: KazanForum 2025”.

Anwar berkata Tatarstan mempunyai potensi yang sangat besar dan Malaysia bersedia untuk membincangkan isu perdagangan dan ekonomi dengan republik itu, seperti perbankan Islam dan industri halal di Kazan.

Setakat 2022, penduduk Tatarstan berjumlah 3.9 juta orang, terdiri daripada lebih 70 kumpulan etnik, dengan lebih daripada 50 peratus penduduknya beragama Islam. Terdapat lebih daripada 150 pengeluar produk halal dengan kira-kira 20 syarikat menumpukan pada eksport di republik itu.

Eksport utamanya adalah petroleum ditapis (US$4.28 bilion) (US$1=RM4.28), petroleum mentah (US$3.84 bilion), getah sintetik (US$1.06 bilion) dan baja nitrogen (US$202 juta).

Menerusi ucapan beliau pada Mesyuarat Kumpulan Wawasan Strategik: Rusia- Dunia Islam (KazanForum 2025), bertemakan Pengalaman Rusia dan Dunia Islam dalam Dasar Belia: Cabaran Bersama dan Tindakan Bersama, Anwar menekankan kepentingan dan peranan penting kerjasama pelbagai hala dalam menangani cabaran yang semakin berkembang yang dihadapi oleh belia, terutamanya dalam dunia Islam.

Manakala dalam ucap tama beliau pada Forum Ekonomi Antarabangsa “Rusia-Dunia Islam: KazanForum 2025”, Anwar menyeru dunia Islam untuk bekerjasama dan mengukuhkan asas, bermula dengan ekonomi, terutamanya dalam Industri Halal yang dianggarkan bernilai US$3 trilion.

“Dari negara-negara Teluk, Timur Tengah, ke Afrika, ke Asia, kita harus memformalkan dan mengukuhkan perpaduan ini.

“Kemudian barulah kewangan Islam, bukan hanya sekadar menerima pakai apa yang anda panggil sebagai bebas riba, tetapi meneroka inovasi baharu agar ia dapat menawarkan ekonomi alternatif dan berdaya maju bagi dunia Islam dan juga penyertaan orang bukan Islam dalam masyarakat kita dan di negara bukan Islam,” kata beliau.

Delegasi Malaysia disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sehingga 2024, Rusia adalah rakan dagangan kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah perdagangan bernilai RM11.46 bilion (AS$2.48 bilion).

Lawatan empat hari Anwar ke Rusia berakhir pada Jumaat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan