KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan London Biscuits Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan berkaitan penyampaian penyata kewangan palsu kepada bursa saham serta pemalsuan rekod syarikat tersenarai.
SC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Liew yang berhadapan 13 pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut.
Liew didakwa menyebabkan penyampaian penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad pada 30 Ogos 2019, di bawah Seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA)
Lelaki itu didakwa membuat kenyataan palsu berkaitan hasil terkumpul London Biscuits Berhad berjumlah RM285,985 yang terkandung dalam laporan suku tahunan syarikat itu, bagi suku ketiga tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2019.
Liew dianggap telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(1) CMSA) kerana beliau adalah pengarah dan ketua pegawai eksekutif London Biscuits Berhad ketika itu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan juga denda tidak melebihi RM3 juta
Di mahkamah yang sama, Liew turut berdepan dengan 12 pertuduhan di bawah Sekseyn 368 (1)(a) CMSA kerana mengarahkan penciptaan transaksi palsu berkaitan jualan syarikat, dalam rekod perakaunan London Biscuits Berhad antara Oktober 2018 dan Mac 2019.
Jumlah keseluruhan transaksi palsu yang dinyatakan dalam kesemua 12 pertuduhan tersebut ialah RM2,354,430 dan jika sabit kesalahan, Liew boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan juga denda tidak melebihi RM1 juta bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah membenarkan Liew diikat jamin RM300,000 dengan dua penjamin tempatan bagi kesemua 13 pertuduhan, serta mengarahkan beliau menyerahkan pasport kepada mahmakah dan melaporkan diri kepada pegawai SC setiap dua minggu sekali.
-- BERNAMA