DUNIA

MALAYSIA MANFAATKAN KEPENGERUSIAN ASEAN PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN GCC, CHINA

16/05/2025 07:29 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Malaysia bersedia mengambil bahagian dalam diplomasi global apabila menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan bulan ini, memanfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 untuk memajukan hubungan strategik dengan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, terutamanya dalam mempromosikan tatanan multipolar global dan mengukuhkan prinsip pemusatan ASEAN.

Pakar serantau Dr Nadia Helmy berkata penganjuran sidang kemuncak itu di Kuala Lumpur - yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim - mencerminkan komitmen Malaysia dalam membentuk rangka kerja multilateral, selaku pengerusi ASEAN, Malaysia menyediakan platform membina jambatan antara Asia Tenggara, dunia Islam dan kuasa global utama seperti China.

“Penganjuran Malaysia bagi Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China yang pertama, mencerminkan peranannya yang semakin menonjol dalam membentuk rangka kerja pelbagai hala bagi kerjasama ekonomi, politik dan budaya,” kata Nadia, Profesor Madya Sains Politik, Fakulti Politik dan Ekonomi, Universiti Beni Suef, Mesir dan pakar dalam hal ehwal politik China dan Asia.

Beliau juga menyatakan penekanan berterusan Malaysia terhadap “pemusatan ASEAN” sebagai tindak balas strategik kepada ketegangan geopolitik antara kuasa besar.

“Malaysia secara aktif menyokong pendirian neutral dan mengelak penyelarasan dengan mana-mana blok global. Ini membolehkan ASEAN berfungsi sebagai entiti bersepadu dan bebas dalam diplomasi antarabangsa,” katanya kepada Bernama dalam temu bual bertulis.

Nadia juga menyatakan negara ASEAN mempunyai ekonomi kukuh yang membolehkan mereka memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi global.

“Ini menjadikan kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan ASEAN oleh negara GCC dan negara Timur Tengah lain membuahkan hasil dan berjaya bagi semua pihak,” katanya.

Nadia berkata peranan China juga dijangka menonjol dalam rangka kerja tiga hala melalui Inisiatif Jalur dan Laluan, pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui di Teluk serta sokongan infrastruktur di Asia Tenggara.

“Kerjasama segitiga yang semakin meningkat ini - ASEAN, GCC dan China - menjurus ke arah mencapai pembangunan mampan, ketahanan ekonomi dan kestabilan serantau,” katanya.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Kepengerusian ASEAN Malaysia dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan datang berada pada detik penting, menyaksikan badan serantau itu sedang mentakrifkan semula pendekatan penglibatan luarnya.

“Dengan peningkatan kerjasama strategik antara ASEAN dan GCC, Malaysia berada pada kedudukan unik untuk membantu membentuk identiti sosiopolitik ASEAN, bertindak sebagai jambatan antara kedua-dua wilayah.

Beliau juga berpendapat  bahawa prinsip MADANI Malaysia boleh dimanfaatkan untuk mempromosikan nilai toleransi, saling menghormati dan muafakat bersama ASEAN dalam menjalin perkongsian yang lebih kukuh dengan GCC dan China, sambil meletakkan ASEAN sebagai pelaku berasaskan nilai yang inklusif di persada global.

Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan buat julung kalinya, Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China secara serentak pada penghujung bulan ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan