KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menziarahi pusara Perdana Menteri kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah meluangkan masa kira-kira 45 minit bermula 10.30 pagi dengan menyertai bacaan tahlil diketuai Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni sebelum menabur bunga serta menyiram air mawar di atas pusara Allahyarham.
Baginda berdua diiringi anak Allahyarham iaitu Tan Sri Kamaluddin dan Nori.
Selesai menziarahi pusara Abdullah, baginda berdua menziarahi serta menabur bunga pada pusara bekas pemimpin negara lain yang turut disemadikan di Makam Pahlawan.
Pemimpin berkenaan termasuk Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Abdul Ghafar Baba dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman.
Abdullah yang mesra disapa "Pak Lah," meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 7.10 malam, 14 April lepas pada usia 85 tahun.
Beliau memegang jawatan Perdana Menteri dari 31 Okt 2003 hingga 3 April 2009, meninggalkan legasi yang besar dalam pembangunan negara termasuk inisiatif seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), program J-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab, Fardu Ain) serta industri halal.
-- BERNAMA