KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Malaysia sudah bersedia untuk mengembangkan inisiatif Perubatan Senaman ke Eropah, bermula dengan Hungary, melalui kerjasama antara Hungarian University of Sports Science (HUSS) dan Asia College of Exercise Medicine (ACEM) di Damansara Damai, Selangor.
Semalam, Pengasas Perubatan Senaman di Malaysia Prof Dr Muhammad Lee telah mengadakan mesyuarat khas dengan pegawai di Kedutaan Hungary di Malaysia diketuai oleh Duta Besarnya Dr Petra Ponevács-Pana, bagi meneroka peluang kerjasama yang bertujuan mempromosikan Perubatan Senaman sebagai strategi utama memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Malaysia mencipta sejarah pada 2018 sebagai negara pertama di Asia yang menjadikan amalan Perubatan Senaman lebih formal melalui Memorandum Perjanjian antara Kementerian Kesihatan dan Asia College of Exercise Medicine.
“Kolej itu menawarkan Diploma in Exercise Science (Therapy and Rehabilitation) untuk melatih pengamal dalam menetapkan terapi senaman sebelum pengurusan rawatan farmakologi,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Perubatan Senaman merujuk kepada amalan klinikal untuk menetapkan aktiviti fizikal berstruktur sebagai intervensi barisan pertama untuk mencegah, mengurus dan merawat penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung dan hipertensi.
Ia melibatkan Jurupulih Senaman bertauliah yang menyediakan program senaman yang disesuaikan untuk pesakit yang dirujuk oleh doktor perubatan.
Dr Lee yang telah meluaskan amalan itu ke India dan Indonesia, menekankan bahawa NCD kekal sebagai punca utama kematian di negara-negara tersebut, begitu juga Malaysia.
"Perubatan Senaman memberi kuasa kepada doktor untuk merujuk pesakit kepada Jurupulih Senaman bertauliah sebelum memberi preskripsi ubat, meletakkan senaman sebagai barisan rawatan pertama," katanya.
Di Malaysia, Dr Lee juga bekerjasama dengan fakulti perubatan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk mendedahkan pelajar perubatan kepada Perubatan Senaman, melengkapkan doktor masa depan dengan pengetahuan untuk menasihati pesakit mengenai pencegahan dan rawatan berasaskan senaman.
Beliau berharap lebih ramai doktor perubatan akan menggunakan senaman sebagai strategi intervensi awal dan Klinik Senaman akan ditubuhkan di seluruh negara untuk menerima pesakit yang dirujuk oleh profesional penjagaan kesihatan.
-- BERNAMA