POLITIK

USAHA BANGUNKAN NEGARA PERLU PENGILIBATAN AHLI - NURUL IZZAH

16/05/2025 01:30 AM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa usaha membangunkan negara bukan hanya terletak di bahu pimpinan parti semata, bahkan memerlukan penglibatan ahli.

Mengambil contoh isu rakyat seperti pendidikan, beliau berkata PKR perlu terus memberikan ‘kepedulian’ sekali gus dapat memberi keyakinan rakyat terhadap parti.

“Saya melihat kepada pengalaman banyak negara seperti di Amerika Syarikat dan Jerman...orang kalau tidak percaya, kadang-kadang mereka tidak melihat kepada parti yang mampu mempertahankan mereka. Satu-satunya negara yang saya fikir melaksanakan reformasi ialah Mexico, dan inilah yang sedang kita buat,” katanya di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Temu Rapat Akar Umbi, yang turut dihadiri Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Nurul Izzah yang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan sesi 2025-2028 juga mahu supaya pemilihan dilangsungkan dalam suasana harmoni dan tidak berpuak.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita dijadual berlangsung pada 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, Johor dengan pemilihan pimpinan pusat ditetapkan pada 23 Mei. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan